KEJOHANAN BOLA JARING IPT PIALA REKTOR UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI 2023 SEMPENA MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-13

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

AHAD, 20HB OGOS 2023 – Pasukan Bola Jaring Universiti Brunei Darussalam (UBD) muncul juara pada Kejohanan Bola Jaring Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Rektor UNISSA 2023 sempena Mahrajan Hafl At-Takharruj Ke-13 UNISSA anjuran Kelab Bola Jaring, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2023/2024, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari Ahad, 20hb Ogos 2023M bersamaan dengan 3 Safar 1445H.

Kejohanan ini dibukakan kepada semua mahasiswi IPT Negara Brunei Darussalam. Sebanyak 8 kumpulan telah ikut serta dalam kejohanan ini yang terdiri daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD), UNISSA, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Politeknik Brunei (PB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT) .

Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan yang berlangsung di Dewan Gymnasium UNISSA ialah Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNISSA, Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu. Turut hadir, Nurhafizatulhikmah binti Hj Seribini, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UNISSA.

Kejohanan dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Sesi pagi adalah pusingan peringkat awal dimana kesemua kumpulan berlawan secara ‘round robin’. Manakala, sesi petang diteruskan dengan sesi kejohanan peringkat separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan peringkat akhir di antara 4 kumpulan yang berjaya mara ke peringkat seterusnya.

Kejohanan disempurnakan dengan sesi penyampaian hadiah daripada tetamu kehormat kepada pemenang serta penerima ‘Player Of The Tournament’, ‘Best Attacker’, ‘Best Shooter’ dan ‘Best Defender’.

Juara kejohanan bola jaring disandang oleh UBD, diikuti dengan PB sebagai naib juara dan tempat ketiga disandang oleh CCCT.

Pemain terbaik iaitu ‘Best Attacker’ diberikan kepada mahasiswi UBD iaitu Nur Amal Batrisyia @ Syasya binti Haji Mohamad, manakala ‘Best Defender’ ialah Nur Darina Binti Safri dari pasukan CCCT.

Sementara itu, Nur Nasrina binti Izzudin dari pasukan UNISSA pula dipilih sebagai ‘Best Shooter’ dan ‘Player Of The Tournament’ diberikan kepada kepada Dk Nur Aqilah binti Pengiran Samsul Bahri dari pasukan PB.

Antara tujuan kejohanan adalah untuk menggalakkan para belia bergiat aktif dalam bidang sukan dan juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah dalam kalangan mahasiswi IPT Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ia juga dapat membantu setiap institusi mengenai pasti peserta yang berbakat dan berpotensi untuk diserapkan dalam pertandingan bola jaring yang akan datang.

Kejohanan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar ramai di antara IPT dan tetamu kehormat.