FORUM EKONOMI ISLAM – BRUNEI MYCE 2022

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

2 Julai 2022, Forum Ekonomi Islam dengan tajuk “Pengupayaan Ekonomi Negara Islam: Sorotan Pengurusan Perbendaharaan Negara Pada Zaman Pemerintahan Khalifah ‘Umar bin Abd ‘Aziz’” anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei M.Y.C.E) 2022 telah berlansung dengan jayanya di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan juga menerusi platform Zoom dengan dihadiri lebih 300 penyertaan yang terdiri daripada para peserta tempatan dan luar negara.

Acara diteruskan dengan pelancaran dua (2) buah buku FEKIm, UNISSA terbitan UNISSA Press berjodol Digitalising Islamic Economics and Finance dan Islamic Economics (iEco) International Referred Journal yang telah disempurnakan oleh (3) menteri kabinet Yang Berhormat, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat, Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; dan Yang Berhormat, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Panelis forum adalah terdiri daripada tenaga akademik UNISSA dan panelis jemputan luar negeri dari Malaysia:

1) Moderator : Dr Amnisuhailah binti Abarahan, Pensyarah / Ketua Program Prasiswazah, FEKIm UNISSA;

2) Panel Forum 1: Dr Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin, Penolong Kanan Profesor /Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, UNISSA;

3) Panel Forum 2: Dr Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Terengganu Darul Iman.

4) Panel Forum 3: Dr Abdul Ghafar bin Ismail, Profesor Kanan Ekonomi Kewangan Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fellow AmBank Group Resident, Yayasan Kepimpinan Perdana, Malaysia.

Forum ini diadakan adalah bertujuan untuk menyoroti kembali sejarah kegemilangan zaman pemerintahan Islam Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dalam memerangi isu kemiskinan; dan untuk menyoroti kembali jenis / bentuk sumber pendapatan ekonomi utama empayar Islam yang meletakkan pemerintahan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz di dalam carta sejarah kegemilangan peradaban kerajaan Islam. Disamping itu juga untuk menyoroti kembali tadbir urus harta kekayaan Baitulmal pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz sehingga dapat mewujudkan sebuah negara Islam yang berkat dihujani dengan nikmat yang datang dari langit dan bumi; dan mengenalpasti jenis sumber pendapatan ekonomi Islam yang boleh diadaptasi pada zaman pemerintahan Islam moden.

Turut hadir bagi menyaksikan forum tersebut ialah Yang Mulia Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Yang Mulia Pengiran Hajah Zety Sufina Binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr Dayang Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin Setiausaha Tetap (Ekonomi) Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir Bin Haji Abdul Rani dalam ucapan alu-aluan menyatakan tentang peri pentingnya membangun sebuah negara Islam yang aman makmur dan mapan dalam semua bidang, khasnya dari aspek pembangunan dan pemantapan ekonomi yang bercalakkan Islam, maka pencapaian cemerlang yang gilang gemilang dan peradaban Islam yang sangat tinggi pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz – sebagaimana yang banyak diceritakan dalam buku-buku sejarah Islam – wajar diselidiki, diterokai dan diteladani sebagai role model pengurusan ekonomi Islam terbaik sepanjang zaman oleh negara Islam moden yang menjunjung Islam sebagai cara hidup yang lengkap.

Majlis diakhiri dengan penyampaian Cenderahati kepada para panelis forum yang disampaikan oleh YB Menteri Hal Ehwal Ugama.