FAKULTI USULUDDIN, UNISSA ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KEPADA KETUA MENTERI SABAH

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

1 Mac 2023, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia – Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor. Menyertai rombongan dalam kunjungan berkenaan ialah Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAGM) yang diketuai oleh Presidennya sendiri iaitu Profesor Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti yang juga merupakan Profesor di Fakulti Usuluddin. Sementara itu bagi Fakulti Usuluddin UNISSA diketuai oleh Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah binti Haji Dollah, Dekan Fakulti.

Antara tujuan utama kunjungan berkenaan adalah bagi memperkenalkan program-program akademik yang ditawarkan oleh UNISSA khususnya di Fakulti Usuluddin sebagai usaha untuk membuka peluang kepada calon-calon pelajar dari negeri di bawah bayu menyambung pengajian Islam di UNISSA. Sebagai sebuah pengajian tinggi Islam, UNISSA  banyak merujuk kurikulum akademiknya ke Universiti al-Azhar Republik Arab Mesir, selaku sebuah universiti tersohor yang mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam sistem pendidikannya. Di samping itu, tenaga akademik di UNISSA juga kebanyakannya mempunyai latar pendidikan daripada Univerisiti al-Azhar. Perkara ini dilihat mempunyai kesamaan dengan apa yang diamalkan di Malaysia termasuklah di Sabah. Iklim pembelajaran ini merupakan kekuatan yang dimiliki UNISSA, justeru UNISSA mengusulkan untuk mengadakan kerjasama pendidikan antara kedua-dua buah negara. YAB Ketua Menteri menyambut dengan sangat baik hasrat tersebut. Pada hakikatnya, keberadaan pelajar dari Sabah mengikuti pengajian di Brunei bukan lah suatu yang baru, tetapi telah bermula di awal tahun 2000 di mana beberapa pelajar Sabah merupakan graduan lulusan  Institut Pengajian Islam Sutan Haji Omar Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam.

Kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri Sabah ini merupakan salah satu program yang disusun dalam “Lawatan Kerja WOAGM ke Negeri Sabah” bersama dengan program “JELAJAH SILATURRAHIM DA’IE BORNEO” Fakulti Usuluddin yang dikendalikan oleh Badan Pelajar Fakulti Usuluddin (BadrU). Ia merupakan sebuah program yang julung-julung kalinya diadakan oleh fakulti sebagai landasan mengasah daya kepimpinan dan praktik pembelajaran khususnya dalam bidang dakwah.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku salah seorang ahli Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia. Kunjungan tersebut diakhiri dengan penyerahan cenderahati dan Mushaf UNISSA kepada YAB Ketua Menteri.

Penyerahan cenderahati kepada Ketua Menteri Sabah
Penyerahan mushaf UNISSA kepada Ketua Menteri Sabah
Perbincangan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar, Malaysia dan Fakulti Usuluddin UNISSA, bersama Ketua Menteri Sabah