EKSPO KERJAYA UNISSA TAWAR PELBAGAI PELUANG KERJAYA SEMPENA MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-12 UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

16hb Ogos 2022– Sebanyak 23 agensi menyertai Ekspo Kerjaya bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-12 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari ini. Ekspo ini diadakan oleh Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), Pejabat Alumni (HEA) dan Unit Akedemi dan Kepimpinan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISSA. Ekspo akan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada 16 Ogos hingga 18 Ogos 2022 di Dewan Musyawwarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

23 agensi yang terlibat di dalam karnival ini adalah dari pelbagai sektor, termasuklah usahawan muda tempatan yang sudah mencipta nama dalam empayar perniagaan yang dibangun sendiri. Sebahagian mereka yang hadir menyertai ekspo juga adalah dari kalangan alumni atau lulusan UNISSA. Antara sektor kerajaan yang memeriahkan ekspo ini adalah Pejabat Pengambilan Jabatanarah Keanggotaan (ABDB), Polis Tentera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Hal Ehwal Syariah Bahagian Kawalan Makanan Halal dan manakala dari sektor swasta pula adalah seperti Al-Huffaz Management, McDonalds, Brunei Darussalam Arbitration Center Berhad, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dan Shell Livewire Brunei.

Mahrajan Hafl al-Takharruj ke-12 UNISSA ini merupakan acara yang diadakan bagi meraikan para graduan dan sekali gus medan bagi para pelajar atau alumni mengadakan pelbagai aktiviti. Justeru, ia sangat signifikan sebagai platform utnuk memberigakan maklumat mengenai dunia kerjaya. Dalam ekspo ini kekosongan jawatan dan peluang-peluang pekerjaan dihebahkan secara langsung oleh agensi atau majikan berkenaan. Lantas, ini memudahkan bagi para alumni khususnya untuk memilih kerja yang sesuai dan mendapatkan informasi berkaitan prospek kerjaya yang bersesuaian secara tepat dalam satu tempat. Oleh itu, para alumni atau mereka yang sedang dalam pencarian pekerjaan bolehlah menyediakan resume dan dokumen yang bersesuaian untuk diberikan kepada agensi yang terbabit.

Di samping itu, bagi memeriahkan lagi Mahrajan Hafl al-Takharruj ke-12 UNISSA ini, bengkel dan ceramah berkaitan kerjaya, motivasi dan kaunseling yang sinonim dengan pencari pekerjaan turut diadakan. Bengkel yang dijangkakan mendapat perhatian dan menarik minat ramai peserta ialah Bengkel Juruacara Majlis anjuran Unit Kesenian dan Kebudayaan (UKSKB). Pengacara majlis pada hari ini menjadi suatu tugas yang popular dan boleh mendatangkan pendapatan yang agak lumayan. Tidak lagi hanya sebagai pemberi maklum dan info kepada hadirin bahkan pengacara majlis menjadi penarik yang mewarnai dan menghibur para tetamu yang hadir. Kebijakan mereka mengolah skrip dengan lantunan suara yang indah mampu mempengaruhi suasana majlis yang dihoskan.

Selain itu, aktiviti sampingan lain yang diadakan ialah kempen Derma Darah. Kempen ini bersama oleh Unit Health, Safety, Security, Environment dan Logistics (HSSEL), Majlis Perwakilan Pelajar dan Jabatan Perkhidmatan Makmal dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Kempen ini adalah satu usaha pihak UNISSA menggalakkan orang ramai yang hadir ke Mahrajan Hafl al-Takharruj UNISSA ke-12 ini bersama-sama memberikan sumbangan kepada masyarakat apatah lagi dalam suasana dunia masih dilanda wabak Covid-19.

Seterusnya, tidak ketinggalan Bazaar Jaya diadakan yang dianjurkan oleh Unit Keusahawanan dan Inovasi (UKI). Bazaar ini adalah sokongan UNISSA dalam menggalakkan semangat keusahawanan di kalangan warganya. Ia turut dibukakan juga kepada orang awam bagi membantu mempromosi jualan dan menambah pendapatan mereka.

UNISSA mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung ke Ekspo Kerjaya ini yang dibukakan selama 3 hari mulai 16 – 18 Ogos dari jam 8:00 pagi hingga 4:30 petang.