DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA (DR.) HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH BERKENAN MERASMIKAN MAHRAJAN HAFL AL-TAKHARRUJ KE-13

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

SELASA 22 Ogos 2023 – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenan berangkat ke Kampus Sinaut Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Daerah Tutong bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj pada hari ini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di Ruang Legar Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina, Kampus Sinaut, UNISSA, Tutong dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA;Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Timbalan Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-13 UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya menyaksikan tayangan video pelancaran Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-13 dengan tema “Transformasi Masa Depan Pertanian Moden & Sekuriti Makanan Halal: Menguasai Horizon Baharu” dan menandatangani Lembaran Kenangan Perasmian Hafl-Al-Takharruj yang ke-13. Pemilihan tema ini adalah bagi menonjolkan usaha UNISSA ke arah menjadi sebuah universiti yang ke hadapan yang dapat menyumbang kepada pemodenan dan kemajuan bidang pertanian, dan pada masa yang sama memastikan ketersediaan dan keselamatan makanan yang mematuhi undang-undang pemakanan Islam (Halal) untuk memenuhi keperluan pengguna Islam.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung untuk beredar menyaksikan pameran mengenai Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban sebelum berangkat masuk ke Pusat Makmal Sainstifik Ibnu Sina, UNISSA bagi meninjau kajian-kajian makmal yang dijalankan oleh mahasiswa/i Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban termasuk kajian mengenai pengolahan sisa pertanian untuk meningkatkan produktiviti tanah dan tanaman di Negara Brunei Darussalam dan analisa produk makanan yang diubahsuai secara genetik.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berangkat ke Kawasan Kolam Akuakultur, Kampus Sinaut, di mana DYTM berkenan menanam pokok Bucida atau juga dikenali sebagai pokok Doa dan seterusnya menyaksikan aktiviti melepaskan ikan air tawar oleh mahasiswa-mahasiswa Fakulti Pertanian.

Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan melawat Rumah Herba yang mempamerkan sebanyak 94 koleksi tumbuhan herba termasuk ulam-ulaman seperti rancah-rancah, gajus dan pegaga. Koleksi herba hutan seperti kunyit hantu, tapak unta, dan tawar-tawar juga dipamerkan di Rumah Herba berkenaan. Rumah Herba yang diungkayahkan oleh Fakulti Pertanian, UNISSA bertujuan untuk menyokong pengajaran serta penyelidikan tumbuhan perubatan herba yang berkaitan dengan aplikasi pertanian dan perubatan moden.

Turut menarik perhatian Duli Yang Teramat Mulia adalah pameran berkonsepkan ‘urban farming’ dan teknik tanaman moden yang dibina oleh mahasiswa/i Fakulti Pertanian iaitu tanaman trellis dan sistem pertanian menegak. Antara tanaman yang dipamerkan adalah pudina, basil, selada, kacang panjang dan bunga telang.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya disembahkan dengan pameran lain termasuk aktiviti kompos yang terhasil daripada sisa makan, potongan rumput dan daun kering; paparan koleksi pepijat dan serangga bermanfaat yang diawet; serta pencapaian penyelidikan Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban.

Duli Yang Teramat Mulia juga disembahkan dengan pameran Penyelidikan Inovasi Halal (Halal Innovation Research Showcase) yang bertempat di Galeri Al-Azhar. Pameran ini mempamerkan penyelidikan-penyelidikan yang dikendalikan oleh beberapa pelajar dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan telah memenangi beberapa anugerah dari pertandingan-pertandingan inovasi antarabangsa.

Duli Yang Teramat Mulia  seterusnya berkenan untuk melancarkan 31 buah buku dalam pelbagai bidang hasil tulisan beberapa orang penulis antaranya pertanian, undang-undang, halal, syariah, astonomi Islam dan pengurusan Islam. Sebanyak sebelas (11) buah buku dalam Bahasa Melayu, sepuluh (10) buah dalam Bahasa Inggeris, tiga (3) buah dalam Bahasa Arab, sebuah monograf al-Shafi’I dan enam (6) buah jurnal.

Duli Yang Teramat Mulia juga berkesempatan beramah mesra bersama tenaga akademik UNISSA dan pelajar-pelajar UNISSA.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Mulia Rektor UNISSA telah menyembahkan pesambah ke hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia berupa Dron. Pesambah yang dihadapkan adalah bertepatan jua dengan tema Mahrajan Hafl At-Takharruj yang memfokuskan kepada teknologi pertanian moden ke arah jaminan makanan halal.

Pelbagai aktiviti telah dijadualkan sebagai pengisian sepanjang Mahrajan Hafl At-Takharruj ke-13 termasuk pertandingan memancing; Majlis Penandatanganan Perjanjian di antara Fakulti Pertanian dan pengusaha-pengusaha industri pertanian tempatan; bengkel pengkomposan di rumah, sistem pertanian secara menegak dan penyediaan makanan ikan biogenik; demonstrasi inovasi halal produk makanan dan bukan makanan; pameran rantaian bekalan halal (halal supply chain); pameran poster Pertandingan Inovasi Produk Halal 3.0; sesi perkongsian dari pengusaha-pengusaha industri pertanian; dan program keusahawanan dan ekspo Souq Tani.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke Mahrajan Hafl At-Takharruj yang diadakan sehingga 25 Ogos 2023 bermula jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang di Kampus Sinaut, UNISSA, Daerah Tutong.

Mahrajan Hafl At-Takharruj pada tahun ini dikendalikan oleh Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalal Thayyiban dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UNISSA.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj pada lazimnya dianjurkan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di UNISSA dan bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl Al-Takharruj atau Majlis Konvokesyen UNISSA yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini.