MAJLIS ANUGERAH BUKU UNISSA 2022

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sebanyak tiga buah buku dan dua artikel jurnal berimpak tinggi telah dinobatkan untuk menerima Anugerah Buku UNISSA dalam Majlis Anugerah Buku UNISSA 2022, yang berlangsung di Bilik Banquet, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari Sabtu, 03 September 2022M, jam 2.00 petang.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr Arman bin Haji Asmad, Penolong Rektor (Penyelidikan, Antarabangsa dan Perkhidmatan), Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis Anugerah Buku UNISSA 2022 dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Pengiran Muhammad Daud bin Pengiran Matassan, Pegawai Ugama UNISSA dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Ustazah Salwani binti Sabtu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA.

Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Buku oleh Tetamu Kehormat kepada para pemenang. Anugerah Buku UNISSA terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Buku Bahasa Arab, Kategori Buku Bahasa Inggeris dan Kategori Buku Bahasa Melayu.

Pemenang bagi kategori Buku Bahasa Arab ialah buku yang berjudul “Al-Kulliyyaat wa al-Qawaídmal-Quráaniyyah: Dirasah Ta’siliyyah tahliliyyah li al-Kulliyyaat wa al-Qawaaíd al-Fiqhiyyah (General Qur’anic Texts & Rules: An analytical and Fundamental study of the Juristic Rules)” yang ditulis oleh Dr Maiga Mohamed Hamadikinane dan Hjh Nurol Halimatulwara’ Hj Mumin. Sementara buku yang berjudul “The Qur’an on Art Architecture and Built Environment” yang ditulis oleh Profesor Madya Dr Spahic Omer telah dipilih sebagai pemenang bagi kategori Buku Bahasa Inggeris. Manakala bagi kategori Buku Bahasa Melayu pula, pemenangnya ialah buku yang berjudul “Kitab Hadis Arba‘īn Fādānī: Karya Ulama Nusantara di Tanah Suci“ karya Profesor Madya Dr Gamal Abdul Nasir Zakaria dan Dr Jannatul Husna Ali Nuar.

Buat julung-julung kalinya pada tahun ini, satu kategori baru telah diperkenalkan iaitu Anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi. Kategori ini terbahagi kepada dua iaitu; Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan high-cited terbanyak dan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan jumlah bilangan penerbitan terbanyak.

Artikel yang bertajuk ‘’The Effect of Halal Foods Awareness on Purchase Decision with Religiosity as a Moderating Variable: A Study among University Students in Brunei Darussalam‘’ yang ditulis oleh Profesor Dr Muslichah Machali, Profesor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah dan Dr Ahmad Lutfi bin Haji Abdul Razak telah dipilih sebagai pemenang bagi Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan high-cited terbanyak iaitu sebanyak 14 citations. Manakala Anugerah Artikel Jurnal berimpak tinggi dengan jumlah bilangan penerbitan tertinggi pula telah dianugerahkan kepada Professor Nehaluddin Ahmad dengan meraih sebanyak 13 citations pada tahun 2021.

Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Penolong-Penolong Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, Timbalan-Timbalan Dekan/Pengarah, para hakim serta ahli jawatankuasa majlis.

Majlis Anugerah Buku UNISSA ini merupakan salah satu inisiatif UNISSA PRESS, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA dalam menitikberatkan bidang penyelidikan dan penerbitan. Antara tujuan majlis diadakan ialah untuk memberi pengiktirafan secara formal terhadap buku-buku yang telah memberi impak kepada pembinaan ilmu serta memberi galakan dan motivasi kepada para penulis buku untuk lebih bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan. Di samping itu, anugerah seperti ini diharap akan memberi suntikan semangat dan daya saing kepada para penulis buku untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti.