ALUMNI PUSAT PENYELIDIKAN HALALAN THAYYIBAN, UNISSA BERKONGSI PENGALAMAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Program Bicara Alumni siri ke-3 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni (JKEPA) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kali ini diadakan bersama Alumni daripada Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA bertempat di Kampus Sinaut, UNISSA. Program ini berhasrat untuk menjadi satu platform bagi para Alumni UNISSA yang berjaya dalam bidang yang diceburi untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.

Program yang diadakan sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-13 ini antara lain bertujuan untuk memberikan sokongan dan membuka minda kepada bakal graduan UNISSA dan alumni yang masih mencari pekerjaan dalam menentukan haluan dan kerjaya yang boleh diceburi dimasa akan datang. Program tersebut juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada pelajar tahun 3 dan 4 serta alumni UNISSA mengenai realiti persekitaran dan cabaran dalam proses mencari pekerjaan selepas tamat pengajian universiti.

Seramai empat orang alumni Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban telahpun dijemput sebagai ahli-ahli panel bagi program ini untuk berkongsi penglibatan di dalam bidang mereka masing-masing khususnya bidang kemasyarakatan, sektor kerajaan, bidang akademik dan juga bidang kepimpinan dan perniagaan. Ahli panel pertama, Awangku Mohammad Nur Ajrun’azhim bin Pengiran Julkifli, alumni Program Halal Sains tahun 2022 yang kini bergiat aktif sebagai Presiden di persatuan SCOT Brunei, telahpun mengongsikan bahawa pengurusan masa bukan sahaja merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan namun, setiap individu juga perlu mahir dengan pengurusan diri. Melalui pengurusan diri, seseorang itu akan lebih memahami minat yang ingin diceburi dan kemampuan yang dimiliki serta manfaat yang dapat diperolehi daripada usaha yang dilakukan. Beliau juga menegaskan bahawa apabila pengurusan diri dijaga dengan baik, pengurusan masa juga akan turut tersusun dengan sebaiknya. Ahli panel kedua, Muniratul Farhanah @ Muniratun Nazihah binti Begawan Mudim Haji Awang Tamin Alumni tahun 2022 sekarang berkhidmat di sektor kerajaan sebagai Pentadbir Teknologi Maklumat. Beliau mensarankan kepada bakal graduan untuk bersedia menempuhi alam pekerjaan dengan bersiap sedia dengan ilmu pengetahuan, kemahiran yang diperlukan dan ketahanan mental dan fizikal. Salah satu cara adalah dengan mengembangka kemahiran dengan bekerja sambilan tanpa perlu memilih pekerjaan dan melatih diri untuk bergiat aktif dalam melakukan kerja-kerja amal melalui aktiviti kesukarelawanan.

Ahli panel ketiga adalah Dayang Siti Nasyitah binti Awang Haji Ahmad, Alumni Program tahun 2022 merupakan Alumni yang melanjutkan pembelajaran dalam sarjana penyelidikan. Penyelidikan beliau memberi tumpuan kepada peralihan kehidupan Muallaf dalam menuju amalan pengambilan makanan Halal. Beliau mengongsikan mengenai kepentingan kualiti pelajar khususnya bagi pelajar yang berhasrat untuk meneruskan pelajaran. Antara kualiti yang dimaksudkan adalah seperti keterbukaan terhadap penambahbaikan, pengurusan masa yang berkesan dan disiplin diri. Ahli panel keempat, Nurhani Basirah binti Haji Chipli merupakan Alumni Program Sarjana Halal Sains Pengurusan tahun 2022 yang telah mengharumkan nama UNISSA dan Negara Brunei Darussalam apabila beliau berjaya meraih tempat ketiga dalam Program Akademi Sahur (Aksi Asia) Musim ke-3, Indonesia. Beliau juga merupakan bekas peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-46 dan seterusnya mengongsikan pengalaman beliau semasa mengikuti program tersebut. Beliau menasihatkan agar bakal graduan mencuba perkara baru yang bermanfaat kerana melangkah keluar dari zon selesa membolehkan seseorang itu mengatasi cabaran dengan lebih baik, meningkatkan daya kreativiti dan kebolehpasaran yang merupakan aspek penting dalam mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Beliau juga turut menekankan kepentingan meminta kedua ibu-bapa untuk terus mendoakan kerana ini juga merupakan jaminan utama kejayaan seseorang. Sesi perkongsian tersebut juga membukakan sesi soal jawab untuk memberikan peluang kepada para pelajar untuk bertanya soalan dan seterusnya, memperluaskan pandangan mereka tentang pelbagai cabaran dan peluang dalam alam pekerjaan. Program Bicara Alumni ini dipengerusikan oleh Yang Mulia Mohammad Raziq Rafiqi bin Rasigawata, Rais Unit Perhubungan dan Penerangan Halalan Thayyiban Student Society 2022/2023.

Hadir semasa program Bicara Alumni ini adalah Yang Mulia Ustaz Awang Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni UNISSA dan juga Yang Mulia Muhammad Dzulhilmi bin Haji Moharefandi selaku Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA sesi 2021/2023. Turut hadir semasa program sesi perkongsian ini adalah Yang Mulia Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban yang telah menyampaikan cenderahati sebagai penghargaan kepada ahli-ahli panel bagi program tersebut.

JKEPA UNISSA berharap bahawa program Bicara Alumni UNISSA ini akan terus memberi manfaat dan inspirasi kepada bakal graduan UNISSA dan juga alumni UNISSA sebagai panduan berharga dalam membantu mempersiapkan diri bukan sahaja untuk peluang, malah cabaran yang bakal dihadapi dalam mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat
universti.

Gambar ramai bersama Yang Mulia Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban