MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ TAHUN 1444H / 2023M, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

SABTU, 25 Februari 2023 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj Tahun 1444H / 2023M pada jam 2.00 petang, bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad. Juga turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa mahasiswi UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Muhammad Faris Amsyar bin Ismail, Exco Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA.

Sambutan tersebut kemudian disemarakkan dengan sebuah Forum Khas yang bertemakan “Bersabar, Berikhtiar, Bertawakkal dan Berdoa Menghadapi Ujian: Sembahyang Meraih Redha Allah.” Forum disampaikan oleh dua orang ahli panel iaitu pelajar Tahun 3, Abdul Mujib bin Awang Sh’minan daripada Fakulti Usuluddin dan pelajar tahun 2, Muhammad Firdaus bin Sait daripada Fakulti Teknologi Islam. Manakala pelajar Tahun 1, Muhammad Dzulkhairi bin Haji Ibrahim daripada Fakulti Usuluddin pula selaku moderator.

Antara inti pati yang dapat diambil daripada forum berkenaan adalah sembahyang merupakan kunci untuk kita meraih redha Allah SWT. Sembahyang merupakan modal yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa seorang hamba, lebih-lebih lagi apabila dilaksanakan dengan khusyuk dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT yang kesannya akan memelihara diri kita daripada perkara keji dan munkar dan menjadikan kita mudah untuk sentiasa taat kepada segala suruhan Allah SWT.  

Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memperingati peristiwa agung perjalanan Baginda Rasulullah ﷺ pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebagai salah satu tanda kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Penyampaian sijil dan cenderahati kepada penyampai forum disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.