12th International Conference on Islam in Malay World (ICON IMAD XII)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Langkawi Malaysia, Selasa dan Rabu, 25-26 Julai 2023 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin telah bekerjasama dalam penganjuran Persidangan Antarabangsa Islam di Alam Melayu ke-11 (ICON IMAD XII) 2023 yang telah berlangsung di Adya Hotel Langkawi, Kedah Darul Aman, Malaysia.

Persidangan ini melibatkan penganjuran bersama empat (4) buah institusi pengajian tinggi di Asia Tenggara secara bergilir iaitu Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam; University Prince Songkla, Thailand, Pascasarjana UIN Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Bandung, Indonesia dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Malaysia selaku Tuan Rumah pada tahun ini.

Seramai 9 orang wakil UNISSA telah membentangkan kertas kerja semasa persidangan terdiri daripada Profesor Madya Kamaludin Nur Murjani, Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah Binti Hj Dollah, Dr Ahmad Baha Bin Hj Mokhtar, Dr Hajah Masuriyati Binti Hj Yahya, , Dr Hajah Siti Jariah @ Hajah Aleya Fatehah Binti Haji Japar, Dr Nurefnazahani Binti Haji Durani, Ustaz Khairul Nazif Bin Hj Awang Damit dan Ustazah Khairun Naqibah @ Khairun Nadzirah Binti Haji Lazim / Haji Abdul Azim, di samping pembentangan utama telah disampaikan oleh YM Profesor Dato’ Dr Md Fakhrudin Bin Hj Abdul Mokti, Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA dengan tajuk “Idea ekstremisme dan bahayanya dalam masyarakat manusia dan penyelesaiannya menurut falsafah Islam”.

ICON IMAD kali ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak lebih 120 kertas kerja yang dibentangkan secara bersemuka dan dalam talian dengan penyertaan 15 buah Institusi pengajian tinggi daripada negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan juga Negara Brunei Darussalam. Menyedari kepentingan dunia penyelidikan khususnya yang melibatkan agenda masyarakat Nusantara ini, pihak Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur mengorak langkah untuk menganjurkan Seminar ICON-IMAD XII 2023 yang bertemakan “Tradisi Islam Melayu Mendepani Krisis Kemanusiaan Serantau (Islam-MalayTradition Facing the Regional Humanitarian Crisis)”

Antara objektif seminar ialah memperkuatkan jaringan akademik dan penyelidikan semasa serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama daripada pelbagai aspek khususnya dalam penyelidikan antara negara-negara Nusantara. Di samping berkongsi hasil penyelidikan, persidangan juga menjadi platform untuk menjalin hubungan strategik bersama rakan-rakan daripada IPT luar dalam sama-sama memperkasa kebudayaan keilmuan yang akan membangun tamadun Islam di Dunia Melayu.

Justeru, penganjuran ICON-IMAD XII 2023 dilihat amat tepat untuk merealisasikan satu perbincangan daripada kalangan penyelidik, agensi atau mana-mana individu secara langsung atau tidak dalam membincangkan krisis kemanusiaan yang dihadapi dalam dunia pada hari ini.

Pada hari penutupan majlis, ICON IMAD 2023 turut mengadakan acara forum Bersama dimana panel-panel telah membincangkan topik mengenai Islam-Malay tradition facing the regional humanitarian crisis” diantara Professor Dr Mohd Fauzi Bin Hamat, Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Malaysia, Dr. Haji Ahmad Baha Bin Hj Mokhtar, Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam, Professor Dr. H. Supiana, M. Ag., Pengarah Pasca Sarjana UIN Sunan Gunung, Djati Bandung, Indonesia, dan Profesor Madya Dr.  Muhammad Afifi Azzalihi, Timbalan Dekan, Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University, Thailand.

Seterusnya adalah acara penutupan majlis dimana Professor Dr. Mohd Fauzi Bin Hamat, Dekan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya telah menyampaikan hadiah – hadiah kepada tiga orang pembentang terbaik bagi ICON-IMAD XII 2023 termasuk Dr. Haji Ahmad Baha Bin Hj Mohktar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Selepas itu, Rektor Dr. Haji Norarfan Bin Haji Zainal, UNISSA telah menyampaikan cenderahati kepada Professor Dr Mohd Fauzi Bin Hamat.