UNISSA MULA RANCANG PELAN STRATEGIK 2024-2028

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sabtu, 04 Februari 2023 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik (PPPS) telah mengadakan Retreat Penyediaan Pelan Strategik 2024-2028, pada hari Sabtu, 4 Februari lalu, di kampus Sinaut. Retreat tersebut telah disertai oleh pegawai-pegawai utama UNISSA serta beberapa orang profesor yang berpengalaman dalam merangka dan melaksana pelan strategik universiti.

Retreat ini diadakan untuk memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi sama-sama merangka Pelan Strategik UNISSA 2024-2028. Retreat ini akan diteruskan lagi secara bersiri mengikut fasa-fasa yang telah dirancang agar pelan strategik yang dihasilkan nanti adalah komprehensif, holistik dan selaras dengan perkembangan semasa serta mengekalkan identiti UNISSA sebagai universiti Islam tulen.

Fasilitator bengkel dalam siri retreat tersebut ialah Dr Muhamad Alif bin Haji Sismat, Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik UNISSA. Turut membantu dalam bengkel ini ialah Profesor Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar yang telah mengongsikan aspirasinya iaitu “Towards Making UNISSA A World Class University” di mana beliau menerangkan konsep universiti berkelas dunia dan strategi menuju ke arah tersebut.

Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, dalam amanatnya berkongsi pengetahuan mengenai 3 proses utama dalam pengurusan strategik: formulasi, pelaksanaan dan penilaian. YM Dr Haji Norarfan juga mengingatkan bahawa visi, misi dan objektif dalam pelan strategik baru nanti perlu bersifat rasional, jelas, dan mampu dicapai dalam masa yang ditetapkan di samping menekankan tentang kepentingan unsur digitalisasi dalam pelan strategik baru tersebut mengikut kemajuan teknologi dan peredaran zaman.