TAKLIMAT KERJAYA: KERJAYA SEBAGAI PENGAMAL UNDANG-UNDANG [SYARIAH DAN SIVIL] DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
Khamis, 7 November 2024M – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN) telah menganjurkan Taklimat Kerjaya bertajuk “Kerjaya sebagai Pengamal Undang-Undang [Syariah dan Sivil] di Negara Brunei Darussalam.” Program ini diadakan pada hari Khamis, 05 Jamadilawal 1446H bersamaan dengan 07 November 2024M dan merupakan kerjasama antara OCeAN dan Firma Guaman Hasnah Hassan dan Associates.
Seramai 70 orang yang terdiri daripada alumni, mahasiswa dan mahasiswi UNISSA telah mengikuti taklimat yang diadakan di Auditorium, UNISSA Gadong.
Taklimat Kerjaya ini dimulakan dengan penyampaian taklimat pertama yang disampaikan oleh Yang Mulia Puan Hajah Hasnah binti Hassan, Peguam Kanan dan Pengarah Urusan Firma Guaman Hasnah Hassan dan Associates.
Dalam taklimat beliau, Puan Hajah Hasnah telah mengongsikan pengalaman luas beliau dalam industri guaman. Beliau menekan pentingnya integriti, sikap hormat-menghormati, dan memegang prinsip jujur dan ikhlas dalam setiap urusan pekerjaan. Beliau juga menasihatkan agar para peserta tidak bersikap sombong dan sentiasa menjaga adab dan etika kerja.
Sesi kedua disampaikan oleh Yang Mulia Puan Hajah Dayang Aziimah binti Haji Mohammad Hambali, Rakan Kongsi di firma yang sama. Puan Hajah Dayang Aziimah memberikan panduan berguna kepada peserta tentang bagaimana cara-cara untuk membina kemahiran yang diperlukan dalam bidang guaman. Beliau juga menekankan ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang intern yang baik. Dalam taklimat tersebut, beliau menyatakan bahawa penguasaan kemahiran teknikal dan komunikasi adalah penting dalam kerjaya guaman. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk keluar daripada keselesaan dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang kerjaya.
Sesi kedua juga memberi ruang kepada peserta untuk mengajukan soalan secara langsung kepada fasilitator. Sesi soal jawap ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada peserta.
Selain itu, Yang Mulia Tuan Muhammad Jafni Fakhrillah bin Haji Jabidi, Peguam Syar’ie, turut berkongsi pengalaman peribadi beliau sebelum bergelar peguam serta perjalanan beliau dalam menangani pelbagai kes undang-undang. Tuan Jafni menegaskan untuk tidak berputus asa dan menyerah dalam mencari pekerjaan kerana itu adalah kunci untuk Berjaya. Beliau percaya bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk seseorang berkembang dan meningkatkan diri dalam bidang yang diceburi.
Tuan Jafni turut memberi nasihat yang bernilai kepada peserta mengenai bagaimana untuk mengatasi cabaran dalam kerjaya guaman. Antara nasihat utama yang dikongsikan oleh beliau adalah “Tunjukkan bahawa anda boleh melakukan lebih daripada apa yang diharapkan dan berikan lebih daripada apa yang diminta.” “Setiap cabaran yang datang dalam kerjaya anda adalah peluang untuk belajar dan berkembang. Jangan sesekali berputus asa atau bersangka buruk terhadap rezeki yang diberikan.”
Taklimat ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para alumni dan pelajar UNISSA mengenai tanggungjawab, peranan, dan etika sebagai pengamal undang-undang di Negara Brunei Darussalam. Program ini juga bertujuan untuk menarik minat dan meningkatkan semangat alumni serta pelajar dalam pemilihan kerjaya sebagai pengamal undang-undang. Selain itu, ia berfungsi sebagai platform untuk berkongsi ilmu, di mana manfaatnya termasuk pendedahan kepada amalan undang-undang yang boleh digunakan dan diadaptasi oleh peserta dalam profesion tersebut.
Melalui taklimat kerjaya ini, para peserta dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai kerjaya dalam bidang undang-undang dan mendapat inspirasi untuk memilih kerjaya ini sebagai pilihan masa depan. Dengan adanya taklimat ini, diharapkan dapat membekalkan alumni dan pelajar UNISSA dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya mereka sebagai pengamal undang-undang di Negara Brunei Darussalam.