MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ MI’RAJ

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj Tahun 1445H / 2024M pada hari Sabtu, 07 Sya’ban 1445H bersamaan 17 Februari 2024M, jam 2.00 petang, bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Rektor (Penyelidikan, Antarabangsa & Perkhidmatan) UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad. Juga turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa mahasiswi UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Md Dzulkhairi bin Haji Ibrahim, Exco Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Majlis Perwakilan Pelajar, UNISSA. Sambutan tersebut kemudian disemarakkan dengan sebuah Forum Khas yang bertemakan “Sembahyang Tiang Agama.” Forum disampaikan oleh dua orang ahli panel iaitu pelajar Tahun 3, Auza’ie Rusydi Bin Suhaili daripada Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan pelajar tahun 2, Muhammad Amin Rifaie Bin Mohd Suhaimin daripada Fakulti Teknologi Islam. Manakala pelajar Tahun 2, Abdul Matin Bin Amran daripada Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam pula selaku moderator.

Antara inti pati yang dapat diambil daripada forum berkenaan adalah bahawa sembahyang merupakan tiang agama dan anugerah Allah dalam kefardhuan sembahyang itu mempunyai rahsia yang signifiken dengan kehidupan manusia itu sendiri. Sembahyang itu mampu mempengaruhi keperibadian seseorang dan umat masyarakat dalam mencorak kehidupan yang baik dan sempurna. Sifat Ikhlas dan istiqamah perlu ada dalam melaksanakan tuntutan sembahyang agar ibadah ini menjadi pengukuh kepada ibadah-ibadah yang lain dalam membentuk generasi yang bertaqwa.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menyemarakkan sambutan Isra’ dan Mi’raj peringkat UNISSA dan sekaligus untuk meningkatkan kefahaman serta pengetahuan tentang isi forum yang disampaikan. Penyampaian sijil dan cenderahati kepada penyampai forum disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.