MAJLIS ANUGERAH BUKU UNISSA 2022

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sebanyak lima anugerah telah disampaikan dalam Majlis Anugerah Buku UNISSA 2022, yang berlangsung di Bilik Banquet, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari Sabtu, 03 September 2022M, jam 2.00 petang.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr Arman bin Haji Asmad, Penolong Rektor (Penyelidikan, Antarabangsa dan Perkhidmatan), Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis Anugerah Buku UNISSA 2022 dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Pengiran Muhammad Daud bin Pengiran Matassan, Pegawai Ugama UNISSA dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Ustazah Salwani binti Sabtu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA.

Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Buku oleh Tetamu Kehormat kepada para pemenang. Pada tahun ini dua kategori baru iaitu Anugerah Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan petikan terbanyak, dan Anugerah Bilangan Penerbitan Terbanyak dalam Jurnal Berimpak Tinggi telah diperkenalkan sebagai tambahan kepada tiga kategori lazim iaitu Anugerah Buku Bahasa Melayu, Anugerah Buku Bahasa Inggeris, dan Anugerah Buku Bahasa Arab.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA dalam ucapan aluan-aluan beliau menyatakan bahawa penambahan dua kategori baru tersebut dilihat sangat penting sebagai salah satu usaha UNISSA Press untuk menghargai sumbangan para tenaga akademik UNISSA dalam sama-sama meningkatkan pencapaian dan kedudukan UNISSA dalam bidang penyelidikan dan penerbitan, di samping untuk menggalakkan para tenaga akademiknya untuk memperkaya lagi penyelidikan dan seterusnya menerbitkan hasil kajian mereka dalam Jurnal-Jurnal Berimpak Tinggi.

Edisi Anugerah Buku UNISSA tahun 2022 ini menyaksikan sebanyak 50 buah buku telah dinilai dan dihakimi, iaitu 25 buah buku terbitan 2020 dan 25 buah buku terbitan 2021.

Pemenang bagi Anugerah Buku Bahasa Arab ialah buku yang berjudul “Al-Kulliyyaat wa al-Qawaídmal-Quráaniyyah: Dirasah Ta’siliyyah tahliliyyah li al-Kulliyyaat wa al-Qawaaíd al-Fiqhiyyah (General Qur’anic Texts & Rules: An analytical and Fundamental study of the Juristic Rules)” yang ditulis oleh Dr Maiga Mohamed Hamadikinane dan Hajah Nurol Halimatulwara’ binti Haji Mumin. Sementara buku yang berjudul “The Qur’an on Art Architecture and Built Environment” yang ditulis oleh Profesor Madya Dr Spahic Omer telah dipilih sebagai pemenang bagi Anugerah Buku Bahasa Inggeris. Manakala bagi Anugerah Buku Bahasa Melayu pula, pemenangnya ialah buku yang berjudul “Kitab Hadis Arba‘īn Fādānī: Karya Ulama Nusantara di Tanah Suci“ karya Dr Jannatul Husna Ali Nuar dan Profesor Madya Dr Gamal Abdul Nasir Zakaria.

Artikel yang bertajuk ‘’The Effect of Halal Foods Awareness on Purchase Decision with Religiosity as a Moderating Variable: A Study among University Students in Brunei Darussalam‘’ hasil tulisan Profesor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah, Profesor Dr Muslichah Machali dan Dr Ahmad Lutfi bin Haji Abdul Razak telah dipilih sebagai pemenang bagi Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan petikan terbanyak. Manakala Anugerah Bilangan Penerbitan Terbanyak dalam Jurnal Berimpak Tinggi pula telah dianugerahkan kepada Profesor Dr Nehaluddin Ahmad.

Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Eksekutif, Pegawai-Pegawai Utama, para jemputan khas, para panel penilai anugerah buku serta ahli jawatankuasa majlis.