CERAMAH KHAS: MERAIKAN KEMENANGAN SYAWAL

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Fakulti Pengurusan Pembangunan Islamtelah menganjurkan Ceramah Khas: Meraikan Kemenangan Syawal. Antara tujuan ceramah khas ini diadakan adalah untuk meraikan kemenangan umat Islam dalam ‘peperangan’ menentang musuh jiwa yang terbesar iaitu hawa nafsu dengan melakukan ibadah puasa Ramadhan selama sebulan di samping melahirkan perasaan cinta dan syukur terhadap kehadiran bulan Syawal serta sebagai salah satu usaha untuk membantu rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.

Program anjuran Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, UNISSA ini telah disertai oleh seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada para pensyarah, pegawai dan kakitangan kerajaan, mahasiswa-mahasiswi UNISSA, para Belia serta orang ramai yang berminat.

Ceramah khas tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa, seterusnya diikuti dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Sharifah Hayaati binti Syed Ismail al-Qudsy. Antara intipati Ceramah Khas adalah untuk mensyukuri nikmat bulan, hari dan detik masa yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta mensyukuri nikmat paling besar di dalam bulan Ramadhan di mana kita dianugerahkan keampunan dan keberkatan di dalamnya. Seterusnya meraikan kemenangan di bulan Syawal dengan penuh kesyukuran dan juga kegembiraan setelah sebulan kita menahan lapar dan dahaga serta memupuk sabar dalam diri kita.

Tetamu kehormat majlis adalah Yang Mulia Prof. Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Turut hadir ialah jemputan khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai utama UNISSA. Ceramah khas diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan penyerahan sumbangan derma kepada Tabung Taáwun UNISSA dan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Muhammed Sahrin bin Haji Masri, Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam.