Sabtu, 9 November 2024M – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Kampus Sinaut menerima kunjungan rasmi Duta Besar Turkiye, Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Hamit Ersoy dan isteri beserta seorang lagi diplomat kedutaan Turkiye. Kehadiran Duta Besar disambut oleh Rektor UNISSA, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, dan disertai oleh ahli akademik, kakitangan dan para pelajar.
Lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Rektor UNISSA, yang menyampaikan rasa penghargaan atas kehadiran Duta Besar, diikuti dengan ucapan balas daripada TYT Prof. Dr. Hamit Ersoy yang menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara UNISSA dan institusi pendidikan di Turkiye, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik.
Lawatan kemudian diteruskan dengan tinjauan rasmi di sekitar Kampus Sinaut, dengan melawat beberapa fasiliti yang terdapat di kampus Sinaut termasuklah Makmal Utama Ibnu Sina, kolam, ladang tanaman bindir, Rumah Herba, Galeri Al-Azhar, serta Makmal Penyelidikan Herba. Tinjauan ini memberi peluang kepada Duta Besar Turkiye untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar Fakulti Pertanian untuk mengetahui lebih lanjut mengenai usaha penyelidikan dan pembelajaran yang dilaksanakan di UNISSA. Potensi kerjasama dua hala antara UNISSA dan Turkiye juga turut dibincangkan dalam bidang pertanian dan sains halal sebelum lawatan diakhiri dengan bergambar ramai.