UNISSA PRIHATIN: Al-Qudwah X Persatuan Alumni UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

8HB JUN 2024M | 1 ZULHIJJAH 1445H – Majlis penyerahan sumbangan bagi mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Setia B bersempena dengan Program “UNISSA PRIHATIN”, anjuran Kumpulan Al-Qudwah dibawah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), dan Persatuan Alumni (JKEPA) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sesi 2023/2025 telah berlangsung pada hari Sabtu, 08hb Jun 2024 jam 2:30 petang di Masjid Perdana Wangsa Hj Mohammad, Kg. Setia.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal, juga turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Eksekutif, Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, dan Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni bagi menyerahkan sumbangan berupa barang-barang asasi dan wang ringgit kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Setia B. Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Muhammad Furqan Firdaus bin Dr Hj Samsul Muawa, Setiausaha Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Program “UNISSA PRIHATIN” merupakan satu program infaq untuk mendapatkan derma kilat berupa barang-barang asasi dan wang ringgit bagi mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Setia B baru-baru ini. Pengumpulan sumbangan bermula daripada 27hb Mei 2024 sehingga 30hb Mei 2024 dan telah dibukakan kepada semua warga dan Alumni UNISSA untuk menyumbang selama tempoh yang ditetapkan.

Program ini telah mengutip sumbangan barangan asasi dan wang ringgit sebanyak BND1650.00 dan 100% hasil sumbangan telah diberikan kepada 11 buah keluarga mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Setia B. Ini juga merupakan suatu inisiatif Kumpulan Al-Qudwah dan Persatuan Alumni UNISSA untuk mengumpul dana dengan menggunakan platform atau kaedah secara fizikal dan Online sebagai suatu usaha untuk menyalurkan sumbangan dan membantu orang-orang yang memerlukan tercapai.

 

 

Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk memupuk rasa prihatin dan amalan bersedekah dan kebajikan di kalangan warga dan Alumni UNISSA serta meringankan beban masyarakat dan komuniti Negara Brunei Darussalam yang mengalami musibah. Disamping itu, melalui platform yang disediakan dalam projek ini, dapat memberikan sokongan dan bantuan untuk menyumbang kepada yang memerlukan serta membuka peluang untuk bersedekah di kalangan warga UNISSA.

Ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga dengan sumbangan yang diberikan dapat membantu dalam memberikan manfaat dan keringanan, Inn Shaa Allah.