Rabu, 5 Jun 2024 – Bagi meraikan para ucaptama serta jemputan bagi Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-XV, satu majlis resepsi makan malam telah diadakan di Tarindak D’Polo Restaurant, Royal Brunei Polo dan Riding Club, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.
Diantara pengisian majlis tersebut ialah penyampaian hadiah dan sijil bagi kertas terbaik kepada pembentang KAIB XV.
Bersempena KAIB XV, UNISSA memperluas jaringan kerjasama melalui penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama beberapa buah institusi-institusi pengajian luar yang ikut menghadiri KAIB XV.
Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pihak UNISSA ialah Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA bersama ketua-ketua perwakilan dari Universitas Mulawarman, Kalimantan Timur, Indonesia; Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS), Indonesia dan Institusi Agama Islam Negeri Sorong, Papua, Indonesia.
Sementara penandatangan Memorandum Perjanjian (MoA) juga turut dilaksanakan diantara Fakulti Pertanian, UNISSA yang diwakili oleh Profesor Madya Dr Hjh Rose binti Abdullah, Dekan Fakulti Pertanian bersama Dekan Fakultas Pertanian Universitas Mulawarman; Prof Dr Ir Rusdiansyah, M.Si.
Dengan termeterainya penandatangan bersama institus-institusi pengajian tinggi luar negara tersebut adalah merupakan platform kearah perancangan-perancangan kolaborasi yang akan dirancang demi manfaat bersama khususnya mengukuhkan kedudukan UNISSA sebagai hab pengajian tinggi Islam global.
Turut hadir ke majlis tersebut Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (Kesukanan), Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (Kebudayaan), tetamu-tetamu khas dari dalam dan luar negara, Pegawai-pegawai Utama UNISSA dan para peserta persidangan.