KONFERENSI ANTARABANGSA ISLAM BORNEO KE-15 (KAIB XV)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Rabu, 5 Jun 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddin, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA telah berkenan berangkat bagi merasmikan pembukaan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba baginda dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu KAIB XV.

KAIB XV yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)dengan kerjasama 10 buah universiti di kepulauan Borneo. Di  samping itu KAIB kali ini turut bekerjasama dengan Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan, Negara Brunei Darussalam dan Konsotium Universiti Universitas Borneo (KUUB). KAIB XV ini juga diadakan bersempena dengan Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2024 (BRUNEI-MYCE 2024).

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan doa yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin DatuSeri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang antara lain menyentuh mengenai objektif penganjuran KAIB XV yang antara lain bertujuan untuk mengumpulkan bahan atau karya ilmiah yang berkaitan dengan memperkasakan ummah yang unggul bertunjangkan ilmu dan amal untuk menjadi rujukan pada masa hadapan; menyediakan wadah diskusi tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan dakwah islamiyyah serta isu-isu lain yang berkaitan dengan islam di borneo; dan mengumpulkan hasil tulisan yang berkaitan dengan manuskrip nusantara khususnya kepulauan borneo.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan perasmian KAIB XV.

Majlis diteruskan dengan pembentangan Kertas Perdana yang mengupas tema konferensi dan disampaikan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta paduka-paduka anakanda baginda dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran yang mempamerkan poster-poster penyelidikan yang relevan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pameran ini disertai oleh wakil-wakil dari universiti-universiti kepulauan Borneo termasuk UNISSA. Pameran juga mengongsikan penyelidikan dalam bidang halal, pertanian, perikanan dan teknologi. Semua penyelidikan ini mempunyai elemen inovasi yang mampu memberikan kemudahan kepada orang ramai dalam menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kemiskinan, ketidaksamaan sosial, pencemaran alam sekitar, dan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang terhad.

Tema KAIB XV iaitu “Membangun Masyarakat Dan Perbandaran Islam Yang Mampan” sangat relevan dan penting dalam konteks kehidupan umat islam pada zaman moden hari ini. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan pembangunan mampan, yang tidak hanya mempertimbangkan aspek fizikal dan ekonomi, tetapi juga nilai-nilai rohani dan etika Islam seiring dengan Wawasan 2035 disamping perlaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kebangsaan.

KAIB XV juga diharapkan dapat mengumpulkan hasil tulisan yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui 17 sub-tema perbincangan diantara tajuk-tajuk berkaitan dengan Kelaparan Sifar (SDG 2), Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Pertubuhan Ekonomi (SDG 8). Selain itu, sebuah kertas perdana, lapan kertas ucaptama serta sebanyak 246 kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari konferensi bersidang.