UNISSA SERTAI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN ASIAN ISLAMIC UNIVERSITIES ASSOCIATION (AIUA) KE-14

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sabtu, 25 Mei 2024 – Pemimpin dan perwakilan institusi pengajian tinggi Islam Asia yang bergabung dalam Persatuan Universiti-Universiti Islam Asia atau Asian Islamic Universities Association (AIUA) berhimpun di Islamic University of Maldives. Perhimpunan kali ini adalah bagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-14.

Antara agenda utama dalam Mesyuarat Agung ialah pemilihan tampuk kepimpinan tertinggi AIUA setelah tempoh perlantikan penggal sebelumnya tamat pada tahun ini serta merangka pelan aktiviti persatuan.

UNISSA dihadiri oleh Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA yang juga merupakan Timbalan Presiden AIUA bagi penggal 2022 hingga 2024. Mesyuarat AIUA juga membincangkan laporan dan aktiviti tahunan termasuklah laporan kewangan, mobiliti pelajar dan lawatan ilmiah serta penerbitan jurnal.

AIUA yang dianggotai oleh lebih 80 buah universiti Islam di rantau Asia merupakan persatuan yang dihasratkan untuk mengukuhkan dan memperkasa institusi Islam dengan mengadakan jaringan kerjasama dalam pelbagai program. Semangat setiakawan antara pemimpin pusat-pusat ilmu pendidikan tinggi ini telah memudahkan jalinan sinergi dilaksanakan dan menjadi jambatan untuk sama-sama menaiktaraf kedudukan pengajian tinggi Islam.

Pada pertemuan ini juga, UNISSA telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Islamic University of Maldives (IUM).

Mengiring Mesyuarat Agung Tahunan ialah sebuah seminar antarabangsa yang diadakan pada sebelah pagi dan dirasmikan oleh TYT Mr Ahmad Siyam, Menteri Perikanan dan Sumber-Sumber Lautan. Pertemuan ilmu ini membawakan dua sub-tema dimana pada sesi pertama telah membincangkan mengenai “Leadership for inclusion in higher education and catering for disadvantage groups of students”. Seramai empat pembentang menyampaikan kertas kerja masing-masing yang diutarakan berdasarkan pengalaman amalan universiti masing-masing. Perkongsian dalam perkara menyantuni pelajar berkelainan upaya sememangnya perlu diberikan perhatian seiring dengan agenda SGDs berkaitan keterangkuman. Amalan terbaik yang dikongsikan beberapa universiti sangat bermanfaat untuk negara ahli dalam AIUA untuk memahami situasi menangani permasalahan yang berkaitan.

Seterusnya, sesi kedua pula mengangkat sub-tema “Adapting curriculum, pedagogy and assessment for inclusion in higher education”. Dalam sesi ini sebanyak empat lagi pembentang daripada negara anggota berkongsi amalan terbaik masing-masing dalam hal berkaitan keterangkuman dalam pendidikan pengajian tinggi. Ini termasuklah keterangkuman berkenaan pengintegrasian ilmu sama ada antara ilmu naqli dan aqli atau antara pelbagai disiplin ilmu merentasi bidang pengkhususan masing-masing.

Rektor UNISSA juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Dr. Muhammad Shaheem Ali Saeed, Menteri Hal Ehwal Ugama Maldives bagi membincangkan program-program pembangunan sumber tenaga manusia dan penghantaran pelajar Maldives ke UNISSA.