TABARRU’ IFTAR 2024

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Pelajar PPHT Tahun 1 semarakkan Tabarru’ Iftar 2024

Sabtu, 16 Mac 2024 – Bulan Ramadan merupakan bulan suci umat Islam yang dirayakan dengan cara melaksanakan puasa selama satu bulan penuh. Di samping melakukan ibadat puasa, umat Islam adalah digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah lain seperti bersedekah dan memberi makan orang yang berpuasa sebagaimana disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, Tabarru’ Iftar dilaksanakan dengan tujuan untuk sedekah pek makanan bagi para Jemaah berbuka puasa di masjid. Sebanyak 150 pek makanan telah disediakan yang kemudiannya diagihkan ke lima buah masjid di Daerah Tutong bagi program Tabarru’ Iftar, baru-baru ini. Pengagihan pek makanan berkenaan disasarkan kepada Masjid Pengiran Anak Sarah, Masjid Kampung Sinaut, Masjid Ar-Rahim, dan Masjid Haji Abdul Azim serta Masjid Kampong Keriam.

Program berkenaan diungkayahkan oleh pelajar-pelajar Tahun 1, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Kampus Sinaut, UNISSA. Turut hadir bagi projek berkenaan ialah Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, dan Penolong Pensyarah, PPHT, Nor Surilawana binti Haji Sulaiman.

Projek berkenaan merupakan hasil kutipan sumbangan wang tunai daripada kalangan pelajar Tahun 1 PPHT. Ke semua duit sumbangan berkenaan digunakan sepenuhnya untuk pelaksanaan projek berkenaan.

Program Tabarru’ Iftar merupakan aktiviti kebajikan pelajar di samping menyokong usaha universiti dan negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang memfokuskan kepada SDG 2 (Kelaparan Sifar) dan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejehteraan yang Baik).

Dengan kejayaan Tabarru’ Iftar berkenaan, ia menunjukkan rasa keprihatinan dan sifat murah hati warga PPHT untuk bersedekah dan memperbanyakkan amal kebajikan bagi meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda.