PELANCARAN PROJEK ‘BAKUL INDAHNYA BERKONGSI’ BERI MANFAAT WARGA KAMPUS SINAUT
Isnin, 15 Januari 2024 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui badan pelajar Halalan Thayyiban Student Society (HTSS) dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) telah melancarkan projek ‘Bakul Indahnya Berkongsi’ Di Kampus UNISSA, Sinaut, Tutong.
Turut sama hadir bagi pelancaran projek ini adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, tenaga akademik, kakitangan dan pelajar UNISSA.
Melalui projek ini, satu tempat khas telah disediakan bagi penyimpanan sumbangan dari kalangan tenaga akademik, kakitangan dan pelajar UNISSA. Amalan bersedekah menjadi objektif utama program ini di mana para warga UNISSA khususnya tenaga akademik dan pelajar yang ingin bersedekah bolehlah meletakkan sumbangan di dalam bakul yang telah disediakan. Dengan adanya program ini, ianya boleh membantu meringankan beban dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Di samping itu, acara ini bertujuan untuk memperkenalkan dan memperluaskan lagi konsep yang berkaitan dengan sedekah dan berkongsi rezeki yang halal.
Program ini juga bertujuan untuk mempromosikan perasaan empati, prihatin dan perpaduan sesama sendiri. Tambahan lagi, ini sangat relevan dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau dikenali dengan Sustainable Development Goals (SDG) yang ingin dicapai dengan menumpukan untuk menerapkan beberapa matlamat iaitu “No Poverty”, “Zero Hunger” dan “Good Health and Wellbeing” yang merupakan komitmen global ke arah masa depan yang lebih mampan.