MAJLIS HAFL AL-TAKHARRUJ UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI KE-13

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Majlis Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Ke-13 kali ini berjaya melahirkan 471 graduan, jumlah tertinggi sejak pengeluaran graduan pada tahun 2011 yang lalu.

Para graduan yang diraikan pada hari ini dalam pelbagai peringkat pengajian dengan pengurniaan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Diploma Kebangsaan Tertinggi, Diploma Kebangsaan dan Ijazah Khas Hafaz Al-Quran 30 juzuk pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini.

Berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA.

Berangkat sama, paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UNISSA.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Sejurus keberangkatan tiba, perarakan baginda didahului dengan Bentara menjunjung Mushaf UNISSA di hadapan perarakan berkenaan dan masuk diiringi dengan alunan selawat dan qasidah (dikir) ‘Ahlan Bikum Sultanana’ dan kemudiannya diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ sejurus selesai Perarakan Canselor.

Hafl Al-Takharruj dimarakkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al- Baqarah bermula ayat 168 hingga 171, dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tahfiz & Qiraat), Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Haji Abdul Habib yang telah mewakili Negara Brunei Darussalam pada Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan 2022.

Manakala bacaan Al-Hadis disampaikan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Awang Abdul Rahim bin Haji Mohd Arsat.

Sementara inti sari ayat-ayat suci Al-Quran dan Al-Hadis pula dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Fakulti Teknologi Islam, Haji Abdul Rahman bin Haji Ahim.

Antara intisari ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadis ialah Allah SWT menurunkan pelbagai perintah dan larangan bertujuan untuk menjaga lima perkara asas iaitu menjaga dan memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Antaranya ialah tuntutan memilih makanan yang menepati konsep halal dan baik atau ‘halalan thayyiban’. Pemakanan halal merangkumi dua perkara; iaitu halal pada zatnya dan halal pada cara memperolehinya. Halal pada zatnya bermakna ia berasal dari yang halal seperti ayam, ikan, sayur dan lain-lain. Manakala halal dalam cara memperolehinya seperti melalui perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya.

Kemudian Allah SWT melarang hamba-hambaNya dari mengikuti jejak langkah syaitan yang membawa kepada kemungkaran, menghalangi dari mengingati Allah SWT dan dari mengerjakan sembahyang seperti memakan makanan haram, meminum minuman yang memabukkan, perjudian dan lain-lain perkara keji. Keprihatinan terhadap halal haram tidak hanya terhad pada sudut pemakanan bahkan jika dilaratkan dalam seluruh aspek kehidupan ianya merupakan satu jalan ketaqwaan yang akan mengundang keberkatan dalam kehidupan selaras dengan firmanNya, surah al-A’raaf, ayat 96: “Dan kalaulah penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.”

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.

Sebelum itu, Rektor UNISSA telah menyembahkan sembah alu-aluan dan kemudiannya memaklumkan penerima-penerima Pingat dan Hadiah Buku Universiti serta para penyumbang sempena Hafl Al-Takharruj Ke-13.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Hafl Al-Takharruj tahun ini menyaksikan 7 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 73 graduan Ijazah Sarjana, 358 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 10 graduan menerima Ijazah Diploma, 21 orang dari Program Diploma Kebangsaan dan seorang menerima Diploma Kebangsaan. Manakala seorang graduan menerima ijazah Khas Hafaz Al-Quran 30 juzuk.

Daripada jumlah tersebut, seramai 35 graduan adalah terdiri daripada pelajar antarabangsa iaitu dari Thailand, Indonesia, Singapura, Malaysia, Morocco, Palestin and China.

Dengan penerimaan ijazah bagi setiap graduan, mereka ini akan terus meyambung jasa bakti dalam dunia pekerjaan di arena masyarakat dengan membawa nilai-nilai yang diterapkan iaitu takwa, berkepimpinan, cemerlang, integriti dan berwawasan.

Adapun misi UNISSA iaitu melahirkan pemimpin bertakwa dan berwibawa yang menyumbang kepada pembangunan ummah melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Kemajuan UNISSA akan semakin menyerlah dengan penubuhan UNISSA Kampus Sinaut yang menempatkan Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban dan seterusnya tertubuhnya nanti kampus kekal UNISSA yang terletak di Mukim Labu, Temburong, sekali gus melonjakan lagi reputasi UNISSA dan merealisasikan harapan negara untuk melihatnya sebagai hab pengajian tinggi Islam di peringkat global.