UPACARA MENAIKKAN BENDERA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-41, TAHUN 2025

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sabtu, 15 Februari 2025 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) turut sama-sama menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 Tahun dengan upacara menaikkan bendera negara yang bertempat di Kawasan Letak Kereta Zon ‘A’, UNISSA. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan perbarisan lalu terdiri daripada pasukan beruniform UNISSA iaitu Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Pasukan Kadet Bomba, Persekutuan Pengakap Kelana 1102 dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Sebelum upacara  menaikkan bendera, Rektor UNISSA menyerahkan bendera kebangsaan kepada Sarjan Awang Khairul Hafizhan bin Kamis selaku Ketua Kawalan Perbarisan dan juga merupakan Ahli Pasukan Bulan Sabit Merah, UNISSA. Seterusnya upacara menaikkan bendera diiringi dengan Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh warga UNISSA dan ditutup dengan bacaan doa yang dikepalai oleh Ahli Pasukan Kadet Polis, Awang Mohammad Nabil Iman bin Osmanita.

Antara tujuan upacara ini diadakan adalah untuk menanamkan semangat patriotik dalam kalangan warga UNISSA agar dapat memupuk rasa cinta kepada tanah air dan menjiwai kesedaran bernegara dalam memikul tanggungjawab untuk memajukan NBD khususnya sebagai sebuah  institusi pendidikan Islam tulen demi menyahut tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Menjayakan Wawasan Negara. Turut hadir ialah Timbalan Penolong Rektor, Penolong-penolong Rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai, kakitangan dan mahasiswa/mahasiswi UNISSA.