Program Jawlah Ramadhan: Alumni Donation Drive 2025

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

JAWATANKUASA EKSEKUTIF PERSATUAN ALUMNI UNISSA SESI 2023/2025 MENGENDALIKAN PROGRAM JAWLAH RAMADHAN: ALUMNI DONATION DRIVE 2025 

UNISSA Gadong, Brunei Darussalam, 13 Mac 2025 – Program “Jawlah Ramadhan: Alumni Donation Drive 2025” telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (JKEPA UNISSA) melalui Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, di bawah Pejabat Hal Ehwal Alumni UNISSA. 

Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk menjaga kebajikan alumni dengan memberikan bantuan makanan asasi dan keperluan perbelanjaan bagi meringankan beban keluarga Alumni UNISSA yang memerlukan. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran sosial dengan mempromosikan amalan bersedekah, rasa timbang rasa, dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan di negara ini.  

Majlis upacara pembukaan bagi Program Jawlah Ramadhan: Alumni Donation Drive 2025 telah dihadiri oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Hj Norarfan bin Hj Zainal, Rektor UNISSA,  sebagai tetamu kehormat bagi majlis ini. Turut hadir ialah Pegawai-pegawai Eksekutif, Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni dan Dekan Hal Ehwal Pelajar bagi mencerminkan sokongan UNISSA terhadap program ini.  

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Ak Md Hafiy Nasrullah Pg Hj Inderaani, Ketua Unit Pembangunan Kemahiran dan Tarbiah, JKEPA UNISSA sesi 2023/2025. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Dr Muhammad Yadiy Bin Haji Mat Yassin, Yang Dipertua JKEPA UNISSA sesi 2023/2025, sebagai pengerusi program, dan diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis.  

Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan sumbangan kepada penerima yang berada di UNISSA dan diteruskan dengan perjalanan ke rumah-rumah penerima sumbangan di sekitar daerah Brunei Muara, Tutong, dan Temburong. Seramai 10 orang Alumni UNISSA yang memerlukan telah menerima sumbangan berbentuk wang dan hamper dalam program ini. 

Program ini diharapkan dapat meringankan beban keluarga dari kalangan Alumni UNISSA yang memerlukan serta memperkukuhkan semangat ukhuwah dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.