Sabtu, 28 September 2024 – Pidato ialah satu cabang seni penyampaian mesej secara lisan yang mengandungi idea, menjelaskan konsep, menghuraikan dan merumuskannya secara berkesan. Melihat ke arah kemahiran yang perlu dimiliki oleh para graduan iaitu kemahiran berkomunikasi, pertandingan ini merupakan wadah terbaik untuk mengedapankan bakat terpendam para siswa/i untuk tampil ke hadapan khalayak ramai.
Pertandingan Pidato Serantau ini telah julung-julung kali diadakan pada tahun ini bersempena dengan Mahrajan Hafl-Takharruj ke-14 yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pertandingan ini adalah anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang dikendalikan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA.
Antara objektif pertandingan ini adalah untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam mahasiswa/i dalam bidang pengucapan umum, meluaskan pengetahuan para pelajar IPT dalam menggunakan Bahasa Melayu dengan tepat dan Mahasiswa/i dapat membina keyakinan diri dan sedia bersaing secara sihat dalam pertandingan.
Pertandingan ini telah dibukakan kepada Institut Pengajian Tinggi tempatan dan antarabangsa. Para peserta Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan adalah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) termasuk Universiti Islam Sultan Sharif (UNISSA)
Peserta-peserta dari Universiti Luar Negara yang turut serta pertandingan pidato serantau pada tahun ini adalah Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sultan Azlan Shah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak dan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah dari IPT Malaysia. Manakala Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang dan Universitas Ahmad Dahlan mewakili IPT dari Republik Indonesia.
Hadir selaku tetamu kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.
Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil dari Kedutaan Besar Republik Indonesia dan wakil dari Suruanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Penolong-Penolong Rektor UNISSA, Pegawai-pegawai Utama UNISSA, wakil-wakil dari Institusi Pengajian Tinggi, pensyarah-pensyarah, mahasiswa/i dan juga para peserta pertandingan pidato serantau.
Dalam ucapan penutup yang disampaikan oleh Yang Mulia Nurhafizatulhikmah Binti Haji Seribini, Pengerusi Bersama Mahrajan Hafl-Takharruj ke-14, beliau menyatakan bahawa pertandingan ini adalah salah satu usaha menzahirkan komitmen berterusan UNISSA untuk menonjolkan kepentingan Maqasid Syariah dalam melaksanakan dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pidato merupakan satu cabang seni pengucapan yang mana keberkesanannya tergantung kepada kombinasi penghujahan yang jelas dan penyampaian yang menarik perhatian orang ramai. Kemahiran ini penting bagi melahirkan pemimpin yang berkeyakinan dan berwibawa, yang mampu untuk meraih perhatian khalayak umum di dalam dunia sekarang yang mempunyai daya tumpuan yang singkat.
Pertandingan Pidato Serantau Sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-14 dijuarai oleh Muhammad Mukhlisul Mubin bin Julasapiyah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia , diikuti oleh Najmi Adli bin Mustaffa daripada Universiti Sains Islam Malaysia sebagai Naib Juara dan tempat ketiga; Roselind Nadiera binti Talib, Universiti Sultan Azlan Shah, Malaysia.
Para pemenang akan menerima sijil, wang tunai dan cenderahati yang ditaja oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Diharap pengalaman yang dapat diperolehi dari pertandingan ini dapat meluaskan pengetahuan para pelajar IPT dalam bidang yang dikupas bersesuaian dengan tema Maqasid Syariah Teras Matlamat Pembangunan Mampan dalam usaha pengekalan (sustainability) dan memartabatkan kemahiran pengucapan umum pidato ini untuk terus dihayati oleh generasi muda.