MAKMAL IBNU SINA UNISSA TEROKA INOVASI, LAHIRKAN PENYELIDIK BERKEBOLEHAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

15 Jun 2021, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima penyerahan bangunan-bangunan Pusat Latihan Pertanian Sinaut, Jabatan Pertanian yang telah dijadikan sebagai Kampus Sinaut UNISSA. Antara kemudahan prasarana di Pusat Latihan Pertanian Sinaut yang telah diserahkan kepada UNISSA adalah sebuah makmal saintifik. Antara fungsi makmal tersebut adalah untuk penggunaan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan professional  khususnya Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), UNISSA. Dengan tertubuhnya Makmal Saintifik tersebut, maka UNISSA berupaya  memperluaskan lagi skop pengajaran dan penyelidikan dalam bidang Pertanian dan bidang Halal.

Semasa Hafl At-Takharruj UNISSA ke-12, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA telah memperkenankan penubuhan makmal saintifik tersebut dengan nama Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina UNISSA. Baginda juga telah menitahkan dengan penubuhan makmal tersebut akan membuka lebih banyak ruang penyelidikan dan meneroka inovasi terkini dan sekaligus menjadi satu pelaburan yang penting dalam melahirkan generasi penyelidik yang berkebolehan. Pemilihan nama Makmal Saintifik Ibnu Sina adalah berdasarkan aspirasi kepada sumbangan besar tokoh keilmuan Islam dalam bidang sains perubatan moden. UNISSA dalam perancangan jangka masa panjang akan memperluaskan lagi skop dan fungsi makmal seperti perlaksanaan Makmal pengajaran; Makmal Nutrisi; Makmal kultur Tisu; Makmal tanah, air, tanaman, persekitaran, dan baja; Makmal DNA; Makmal penyelidikan herba; Makmal Akuakultur; dan Makmal analitikal Halal.

Antara aktiviti-aktiviti dan program-program dilaksanakan didalam makmal saintifik Ibnu Sina di bawah Fakulti Pertanian adalah program berkenaan dengan teknik-teknik tanaman, tuaian padi, pengubahsuaian tanah organik, kajian hidupan bakau yang telah dibentangkan semasa Mahrajan Hafl Takhruj UNISSA. Selain daripada itu, selaras dengan struktur program akademik bidang Sains Halal pula, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban bermula pada sesi akademik Januari 2023 juga akan turut bergerak dan berusaha untuk melibatkan pelajar menjalankan kajian makmal berskala kecil menerusi analisis DNA haiwan terhadap sampel produk makanan, kosmetik dan farmaseutikal termasuklah kajian tentang peratus alkohol (ethanol) dalam sampel makanan dan minuman serta kajian identifikasi bulu dan kulit khinzir.

Berdasarkan dapatan hasil-hasil kajian yang dilaksanakan di Makmal Saintifik Ibnu Sina dijangka akan dapat dijadikan satu sumber bahan maklumat dan rujukan khususnya kepada ahli akademik dan para pelajar serta masyarakat amnya samaada diberigakan dalam bentuk seminar, konferensi, forum, penerbitan dalam bentuk bab buku, artikel, jurnal atau seumpamanya dengan harapan usaha seumpama ini menjadi sumbangan ilmiah UNISSA dalam membantu kerajaan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pertanian dalam menjamin sekuriti makanan dan juga memelihara kehalalan produk makanan dan produk bukan makanan selaras dengan kehendak syarak.