MAJLIS SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1446 PERINGKAT UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 11 Julai 2024 –

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 pada hari Khamis, 05 Muharram 1446H bersamaan 11 Julai 2024M, jam 8.00 pagi, berlangsung di Surau Al-Syafi’i UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Arman bin Haji Asmad.

Sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan mingguan Surah Yasin, Tahlil dan Doa yang dipimpin oleh Pegawai Ugama UNISSA, Pengiran Mohammad Daud bin Pengiran Matassan.

Majlis kemudian disemarakkan dengan penyampaian tazkirah khas bertema “Memelihara Akal, Masyarakat Sejahtera” oleh Dr Kamaru Salam bin Yusof, Penolong Profesor dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam. Antara inti pati yang dapat diambil daripada tazkirah berkenaan adalah masyarakat yang sejahtera bermula dari setiap individu yang menjaga akalnya dan mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian. Ini termasuklah menjaga hubungan yang baik dengan Allah, berinteraksi dengan sesama manusia dengan penuh kasih sayang dan hormat menghormati serta memastikan segala tindakan yang dilakukan memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Oleh itu, kita dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran dan amalan dalam mengembangkan potensi akal yang Allah kurniakan serta bersama-sama berusaha membangunkan masyarakat yang sejahtera dengan mencontohi tauladan Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan kita.

Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memperingati peristiwa agung penghijrahan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Kota Mekah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah di samping memberi motivasi kepada warga UNISSA agar mencontohi semangat pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA.