MAJLIS IBADAH KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1445H/2024M UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Rabu, 19 Jun 2024 – Ibadah Korban merupakan amalan sunat yang sangat dituntut dalam Islam iaitu dengan menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha; 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik iaitu; 11, 12 dan 13 Zulhijjah sebagai tanda syukur seorang hamba atas nikmat yang diberikan di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bagi memuliakan dan meraikan sambutan Hari Raya Aid iladha tahun ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan majlis berkenaan pada hari Rabu, 12 Zulhijjah 1445H bersamaan 19 Jun 2024M, jam 2.00 petang, bertempat di Dewan Ar-Rayyan, Kampus Sinaut UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Majlis diserikan dengan tazkirah khas disampaikan oleh Yang Mulia Dr Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar, Penolong Profesor dari Fakulti Usuluddin.

Pada tahun ini, sebanyak 3 ekor kerbau dikorbankan dan seterusnya diagihkan kepada golongan fakir miskin bagi kawasan Mukim Keriam, Daerah Tutong dan juga kepada warga UNISSA pada majlis berkenaan. Majlis turut dihadiri oleh penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai-pegawai dan kakitangan serta mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan UNISSA ini diadakan bagi sama-sama merebut peluang untuk melaksanakan ibadah korban dan sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan warga UNISSA.