MAJLIS HAFL AL-TAKHARRUJ UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) KE-14

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Berakas, Rabu, 27 Ogos 2024 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari ini meraikan seramai 454 graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian ijazah dan diploma. Daripada jumlah berkenaan seramai 176 graduan lelaki dan selebihnya adalah graduan perempuan.

Para graduan pada Hafl al-Takharruj tahun ini adalah dari berbagai program dan peringkat pengajian. Mereka terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma Siswazah, Diploma Tertinggi Kebangsaan, Ijazah Khas Hafazan 30 juzuk dan Diploma Da’ie dan Kepimpinan pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

UNISSA mula melahirkan graduan pertamanya pada tahun 2011, dan pada tahun ini merupakan Hafl al-Takharruj atau Konvokesyen yang ke-14 setelah UNISSA mula membuka penawaran pengajian pada tanun 2007.

Berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA.

Berangkat sama, paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UNISSA.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Sejurus keberangkatan tiba, perarakan baginda didahului dengan Bentara menjunjung Mushaf UNISSA di hadapan perarakan berkenaan dan masuk diiringi dengan alunan selawat dan qasidah (dikir) ‘Ahlan Bikum Sultanana’ dan kemudiannya diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ sejurus selesai Perarakan Canselor.

Hafl al-Takharruj disemarakkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran iaitu Surah al- Baqarah bermula ayat 30 hingga 33, dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz & Qiraat, Fakulti Usuluddin; Awang Muhd Auni Marzuqi bin Haji Anuar. Beliau pernah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Pertandingan Musabaqah Tilawatil al-Quran di Anugerah Antarabangsa Mohammed VI, Rabbat, Morocco.

Manakala bacaan al-hadith disampaikan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perundangan Syariah, Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam yang merupakan Pengerusi Badan Sukarelawan Belia Daíe pada tahun 2023 hingga sekarang.

Sementara intisari ayat-ayat suci al-Quran dan al-hadith pula dibacakan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Terjemahan, Fakulti Bahasa Arab; Awang Abdul Shafiq bin Roszani. Beliau merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA bagi sesi pengajian 2022/2023.

Antara intisari ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan ialah memperingatkan manusia untuk sentiasa peka akan tanggungjawab sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk memelihara dan melestari bumi. Pembangunan mampan dalam konteks ini memerlukan pengurusan sumber daya alam yang bijak dan berkesan serta pengambilan keputusan yang mempertimbangkan impak jangka panjang terhadap alam sekitar dan generasi akan datang.

Kemudian ayat yang dibacakan juga menyentuh mengenai pendidikan. Ini dijelaskan apabila melalui firman Allah yang merakam kisah sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengajar Nabi Adam ‘alaihissalam tentang nama segala sesuatu. Ini tidak syak lagi adalah bukti yang menunjukkan pentingnya ilmu pengetahuan dan pendidikan, justeru ia selaras dengan agenda SDG4 bertujuan untuk memastikan semua orang mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Manakala intisari al-hadith pula menyebutkan mengenai agenda Keadilan dan Kesetaraan yang dipromosi dalam SDG10 sebagai pengurangan ketidaksamaan dalam masyarakat. Hadith baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menekankan bahawa tidak lengkap iman seorang mukmin sehingga ia mencintai saudaranya sama seperti ia mencintai dirinya sendiri. Prinsip ini secara langsung akan mendidik masyarakat untuk hidup saling menghargai dan berganding bahu menjaga kesejahteraan makhluk dan ciptaan Allah Subahanahu wa Ta‘ala di muka bumi termasuklah persekitaran dan alam sekitar.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.

Sebelum itu, Rektor UNISSA telah menyembahkan sembah alu-aluan dan kemudiannya memaklumkan penerima-penerima Pingat dan Hadiah Buku Universiti serta para penyumbang sempena Hafl al-Takharruj Ke-14.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Hafl al-Takharruj tahun ini menyaksikan 7 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 73 graduan menerima Ijazah Sarjana, 10 graduan menerima Diploma Siswazah, 328 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 17 graduan menerima Diploma Tertinggi Kebangsaan. Sementara bagi Program Diploma Kebangsaan, penerimanya adalah seramai 12 orang dan bagi Ijazah Khas Hafazan 30 juzuk akan menyaksikan seramai 7 orang penerima.

Pada tahun ini turut menyertai perbarisan ialah 23 graduan penerima ijazah daripada negara-negara di rantau Asia Tenggara dan juga Palestin.

Pengijazahan yang berlangsung dalam suasana penuh istiadat dan meriah ini bukanlah hanya semata sebuah kegembiraan tetapi memberi makna besar untuk para graduan memahami pada merekalah terletak amanah untuk menyumbang bakti memajukan agama, bangsa serta negara tercinta.

UNISSA akan terus berperanan dalam menyediakan pendidikan tinggi Islam yang berkualiti dan penyelidikan berimpak tinggi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah dalam ekosistem mampan berteraskan Maqasid Syari’ah. Ini adalah selaras dengan visi UNISSA iaitu untuk menjadi Institusi Pengajian Tinggi Islam global yang melahirkan Generasi Khayra Ummah.