Khamis, 22 Ogos 2024 – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenan berangkat ke Kampus Gadong, UNISSA bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj pada hari ini.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl al-Takharruj Ke-14 UNISSA menuju ke pentas perasmian Mahrajan Hafl al-Takharruj ke-14, UNISSA.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya menyaksikan tayangan video pelancaran Mahrajan Hafl al-Takharruj Ke-14. Tema Mahrajan Haflal-Takharruj pada kali ini ialah “Maqasid Syariah Teras Matlamat Pembangunan Mampan”. Sejurus perasmian Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan perasmian Hafl-Al-Takharruj yang ke-14.
Pemilihan tema ini adalah bagi menonjolkan usaha UNISSA dalam menjadi universiti yang sama-sama menyumbang kepada menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dalam masa sama menzahirkan bahawa Maqasid Syariah adalah pasak bagi keberkesanan perlaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Meskipun Maqasid Syariah bertapak sebagai prinsip Islam dan SDG adalah inisiatif global oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kedua-duanya menekankan nila-nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Dengan menonjolkan Maqasid as-Syariah sebagai asas, tema ini menekankan prinsip-prinsip utama Islam seperti kesamarataan dan kesejahteraan, yang juga merupakan nilai-nilai yang disokong oleh SDG. Ini menunjukkan bahawa Islam itu syumul dan tidak hanya relevan dalam konteks agama, tetapi juga dalam pembangunan sosial, ekonomi, alam sekitar dan bermacam lagi. Dengan menggabungkan keduanya ini, program mahrajan kali ini akan memberi peluang untuk mempromosikan kesedaran tentang pentingnya memahami dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam usaha mencapai kemajuan yang mampan.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung untuk beredar menyaksikan galeri pameran Mahrajan Hafl al-Takharruj ke-14 UNISSA. Lawatan bermula di Galeri al-Imtiaz yang mempamerkan perjalanan perkembangan dan kemajuan UNISSA dalam mencapai kegemilangan. Pameran ini bermula dengan sejarah awal penubuhan universiti, menyoroti peristiwa-peristiwa penting dalam pembangunannya sebagai sebuah institusi terkemuka, yang dipandu oleh aspirasi serta gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian menyaksikan pameran mengenai projek-projek inovatif bertemakan SDGs yang diterajui oleh pelajar UNISSA sendiri. Pameran ini menekankan bagaimana pelajar secara kreatif menangani cabaran global melalui perspektif Maqasid Syariah.
Projek-projek yang dipamerkan meliputi pelbagai aspek seperti kelestarian alam sekitar, menyantuni isu kemiskinan dan kesamaan sosial, menunjukkan betapa relevannya Maqasid Syariah dalam membimbing penyelesaian yang beretika dan efektif. Pameran ini menegaskan peranan penting golongan belia dalam gerakan kelestarian global, menunjukkan bagaimana generasi seterusnya bersedia untuk memimpin dengan ilmu dan integriti.
Duli Yang Teramat Mulia kemudian beredar menyaksikan demonstrasi tentang penggunaan Quran Braille dan Quran Isyarat daripada pakar-pakar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Projek-projek ini merupakan satu perkembangan yang signifikan dalam menyantuni pengajaran al-Quran bagi Orang Kelainan Upaya (OKU). Inovasi dengan teknik khusus yang direka telah menjadikan al-Quran lebih mudah diakses oleh individu yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran. Usaha ini selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dalam melindungi dan meningkatkan martabat manusia, seiring dengan agenda SDG yang mementingkan keterangkuman dalam pendidikan kepada masyarakat dan ummah.
Turut menarik perhatian Duli Yang Teramat Mulia adalah Projek Penyelidikan Studio Mushaf Digital. Studio ini telah diwujudkan dengan tujuan utama untuk merekodkan bacaan 30 juzuk al-Quran, iaitu sebagai kesinambungan kejayaan projek Mushaf UNISSA yang lepas. Dalam masa yang sama, studio ini bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat rakaman untuk bacaan al-Quran, tetapi juga akan dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan lain yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan untuk melancarkan 34 buah buku terbaharu terbitan UNISSA dalam pelbagai bidang yang mana empat (4) buah buku antaranya adalah hasil daripada geran penyelidikan di bawah Dana Cuti dan Geran Penyelidikan Universiti, UNISSA (URLG). Buku-buku tersebut terdiri daripada sepuluh (10) buah buku dalam bahasa Melayu, tiga belas (13) buah buku dalam bahasa Inggeris, tiga (3) buah buku dalam bahasa Arab, serta sebuah monograf.
Di samping itu, turut dilancarkan tujuh (7) buah jurnal iaitu dua (2) edisi AR-RA’IQ, dua (2) edisi Al-Shafi’i: International Journal of Islamic Contemporary Studies, dua (2) edisi Journal of Halal Science and Technology, dan sebuah edisi International Journal of Umranic Studies (IJUS).
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya disembahkan dengan pameran lain termasuk Pameran Kokurikulum serta Bengkel Kemahiran yang menyediakan paparan dinamik pelbagai aktiviti kokurikulum yang menyumbang kepada pembangunan holistik pelajar-pelajar UNISSA. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan pembelajaran akademik tetapi juga menanamkan nilai-nilai seperti kepimpinan, kerja berpasukan, dan khidmat masyarakat.
Duli Yang Teramat Mulia juga disembahkan dengan Pameran Keusahawanan yang menampilkan pelbagai usaha keusahawanan inovatif oleh para alumni UNISSA. Pameran ini menekankan bagaimana prinsip-prinsip Islam boleh diterapkan untuk mencipta perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab secara sosial, mencerminkan tema Maqasid Syariah sebagai asas utama dalam keusahawanan.
Duli Yang Teramat Mulia juga turut berkesempatan beramah mesra bersama tenaga akademik UNISSA dan pelajar-pelajar UNISSA.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenaan menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA.
Pelbagai aktiviti telah dijadualkan sebagai pengisian sepanjang Mahrajan Hafl al-Takharruj ke-14 termasuk Bazar Mahrajan Hafl al-Takharruj UNISSA ke-14 dimana sebanyak 37 tapak jualan, yang diadakan di Gimnasium UNISSA dan sekitarnya.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke Bazaar Mahrajan Hafl al-Takharruj yang diadakan sehingga 22 Ogos 2024 bermula jam 8.30 pagi hingga 4:00 petang di Kampus Gadong, UNISSA.
Mahrajan Hafl al-Takharruj pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA.
Mahrajan Hafl al-Takharruj pada lazimnya dianjurkan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di UNISSA dan bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl al-Takharruj atau Majlis Konvokesyen UNISSA yang akan berlangsung pada 28 Ogos ini.