KUNJUNGAN HORMAT REKTOR UNISSA BINCANG KERJASAMA AKADEMIK, ALUMNI AL-AZHAR

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

KAHERAH, MESIR, 29 Mei – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menjalin kerjasama dua hala dalam bidang akademik sejak penubuhannya dengan Universiti Al-Azhar As-Sharif, Republik Arab Mesir.

Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, bersama Sheikh Al-Azhar, Republik Arab Mesir, Yang Berhormat Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr. Ahmad At-Tayyib

Sehubungan itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal menzahirkan rasa terima kasih dan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama dua hala tersebut kepada Sheikh Al-Azhar, Republik Arab Mesir, Yang Berhormat Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr. Ahmad At-Tayyib semasa kunjungan hormat yang berlangsung di Pejabat Sheikh Al-Azhar, Kaherah, Republik Arab Mesir. Rektor UNISSA menghargai segala sumbangan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh pihak Al-Azhar terhadap kemajuan dan perkembangan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Perbincangan juga memfokuskan kerjasama dalam bidang akademik bagi penghantaran tiga orang tenaga akademik berjawatan professor dalam bidang aqidah, fiqh dan qiraat dari pihak Universiti Al-Azhar ke UNISSA secara pinjaman kontrak dalam memenuhi keperluan akademik UNISSA sebagai usaha melahirkan ulama yang berwibawa.

Sementara itu, Yang Berhormat Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr. Ahmad At-Tayyib, dalam ucapannya menyambut baik kehadiran Rektor UNISSA dan rombongan serta menzahir rasa mahabbah yang erat dan kecintaan beliau terhadap Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyokong dan menghargai sumbangan Al-Azhar bagi meningkatkan kemajuan syiar Islam di negara ini.

Yang Berhormat Fadhilatus Sheikh turut menasihatkan dan mencadangkan agar kerjasama akademik antara kedua-dua negara dapat diperluaskan bukan sahaja dalam bidang pengajian Islam bahkan juga dalam bidang-bidang antaranya sains, teknologi, perubatan dan pertanian dengan Universiti Al-Azhar.

Turut menyertai Rektor UNISSA dalam kunjungan hormat tersebut Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir, Pengiran Ahmad Munir @ Pengiran Abdul Aziim bin Pengiran Haji Nordin dan Pemangku Penolong Rektor (Antarabangsa dan Perkhidmatan) UNISSA, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili.

Semasa berada di Kaherah, Republik Arab Mesir, Rektor UNISSA berkesempatan membuat lawatan kerja dan perbincangan dengan Yang Mulia Ra’es Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Muhammad Hussein Mahrasawi, Pertubuhan Alumni Antarabangsa Universiti Al-Azhar, Rabithah Universiti-Universiti Islam Sedunia, Majma Buhuth Islam dan pertemuan dengan ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Brunei Darussalam di Mesir serta tinjauan ke dua buah bangunan kediaman pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir iaitu bangunan Darussalam dan bangunan An-Nur, yang terletak di kawasan Hayyu Sadis, Madinat Nasr.

Kunjungan YM Rektor dengan YM Ra’es Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Muhammad Hussein Mahrasawi