KEBERANGKATAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG RAJA ZARITH SOFIAH KE UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Isnin, 14 Oktober 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Kampus Gadong, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari ini.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong ke UNISSA ini adalah sempena  Keberangkatan Negara pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah  ke Brunei Darussalam.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh, dan Rektor UNISSA, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, menuju ke Maktabah UNISSA.

Juga turut berangkat sama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah.

19 buah buku berkaitan dengan adat istiadat diraja, kesultanan, kemahkotaan, istiadat pertabalan dan istana negara yang menjadi lambang kedaulatan serta keagungan raja-raja Melayu telah disumbangkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Buku-buku ini ditempatkan sebagai satu koleksi khas di Perpustakaan UNISSA dan dinamakan “Sudut Buku Malaysia”. Sudut ini akan memberikan manfaat yang besar kepada tenaga akademik dan pelajar UNISSA khususnya serta rakyat dan penduduk di negara ini amnya.

Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung untuk beredar menyaksikan pameran yang bermula di Galeri Al-Imtiaz yang mempamerkan perjalanan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam mencapai kegemilangan. Pameran ini bermula dengan sejarah awal universiti, menyoroti peristiwa-peristiwa penting dalam pembangunannya sebagai sebuah institusi terkemuka, yang dipandu oleh aspirasi serta gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian menyaksikan Pameran Hubungan Kerjasama antara UNISSA bersama Institusi-Institusi Pendidikan (IPT) Malaysia termasuk penyelidikan, buku-buku terbitan, anjuran persidangan bersama; Program Khidmat Masyarakat Al Qudwah di Malaysia, Program Mobiliti penuntut UNISSA ke IPT Malaysia; Pertandingan Antarabangsa Pidato dan Pertandingan Pesta Pantun antara Institusi Pengajian Tinggi Negara Brunei Darussalam.

Turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah Projek Penyelidikan Studio Mushaf Digital iaitu sebuah studio yang melibatkan proses teliti dalam menghasilkan naskhah Al-Quran tulisan tangan. Projek ini merupakan gabungan tradisi dan kemodenan, di mana seni kaligrafi Al-Quran bertemu dengan penyelidikan kontemporari. Studio Mushaf Digital adalah inisiatif penting di bawah projek penyelidikan Mushaf Digital. Studio ini telah diwujudkan dengan tujuan utama untuk merekodkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, berikutan kejayaan projek Mushaf UNISSA yang lepas.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah daripada pihak UNISSA. Kemudian, Kebawah Duli Yang Maha Mulia pula berkenan menyampaikan cenderahati kepada pihak UNISSA.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga turut berkesempatan beramah mesra bersama tenaga akademik dan pelajar-pelajar Malaysia.