BRUNEI DARUSSALAM TEMPAT KETIGA DALAM PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (KATEGORI ALAM MELAYU) PIALA PERDANA MENTERI MALAYSIA 2023

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Negara Brunei Darussalam berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM), Piala Perdana Menteri Malaysia tahun 2023 dan menduduki tempat ketiga dalam kategori Alam Melayu. PABM 2023 merupakan PABM kali ke-15 dengan membawakan tema “Memartabatkan Citra dan Kedaulatan Bahasa Melayu”. Hadir bagi merasmikan program pada malam berkenaan adalah Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Peserta yang mewakili Negara Brunei Darussalam ke peringkat akhir PABM 2023 iaitu Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan ialah pelajar tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di bawah jurusan Tafsir dan Hadith daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan tersebut, beliau telah menjalani latihan secara intensif di bawah bimbingan mentor beliau iaitu Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, Penolong Pendaftar daripada Fakulti Bahasa Arab UNISSA.

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Malaysia, kira-kira 3,500 orang telah membanjiri dewan dengan menyaksikan sebanyak tujuh buah negara berentap dalam pusingan akhir antaranya adalah negara Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan dan Timor-Leste.

Peserta dari Negara Brunei Darussalam, Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan telah membawakan pidato dengan tajuk “Pelita Keluarga Harapan Bangsa”. Beliau berjaya meraih tempat ketiga bagi pertandingan tersebut  di bawah kategori Alam Melayu dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.