MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA HAFL AL-TAKHARRUJ KE-15, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Selasa 5 Ogos 2025 – Seramai 507 bakal graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) diraikan dalam Majlis Khatam al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Hafl al-Takharruj ke-15 yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanal Bolkiah, Kampong Kiarong, hari ini.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis, Rektor UNISSA Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, yang juga menyampaikan penyampaian sijil Khatam Al-Quran dan cenderahati kepada para bakal graduan di majlis itu.

Majlis Khatam al-Quran didahului dengan bacaan Surah al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, dan ddikuti dengan bacaan Surah ad-Dhuha hingga Surah an-Naas secara beramai-ramai yang diketuai oleh Auza’ie Rusydi bin Suhaili, bakal graduan Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun Islam dan diselajurkan dengan bacaan takhtim.

Kemudian bacaan Doa Khatam diketuai oleh Muhammad Aimanuddeen Syahir bin Haji Ibrahim, bakal graduan Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Kehakiman).

Majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Kesyukuran UNISSA yang dipimpin oleh Awangku Mohd Yusuf Hamdee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim, bakal graduan Sarjana Muda Sains Halal.

Turut hadir ialah Penolong-Penolong Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, Pegawai dan kakitangan UNISSA serta ibu bapa/penjaga bakal graduan.

Majlis berkenaan merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan bagi menyemarakkan Sambutan Hafl al-Takharruj UNISSA.

Antara lain tujuan majlis adalah untuk membudayakan pembacaan al-Quran di kalangan para mahasiswa dan mahasiswi selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Di samping bagi menggalakkan penglibatan para mahasiswa dan siswi dalam aktiviti keagamaan agar dijadikan sebagai amalan harian.