TAKLIMAT KEWANGAN: BIJAK URUS WANG, PANDUAN KEWANGAN UNTUK PARA GRADUAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

12 Ogos 2025 – Sebagai salah satu acara sampingan Karnival Kerjaya UNISSA 2.0, Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menganjurkan Taklimat Kewangan: Bijak Urus Wang, Panduan Kewangan Untuk Para Graduan bertempat di Bilik Kelas 1, Kampus Sinaut, Tutong.

Seramai 116 peserta telah menghadiri taklimat ini yang terdiri daripada pelajar dan alumni UNISSA serta orang awam dengan tujuan memperkasakan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menguruskan kewangan peribadi secara bijak dan berstrategi. Sesi ini dikendalikan oleh Yang Mulia Awangku Muhammad Fadhli bin Pengiran Sulaiman, Pengurus Celik Kewangan BDCB, yang berpengalaman luas dalam memberikan pendidikan kewangan kepada golongan muda, khususnya graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan.

Sepanjang taklimat, peserta didedahkan kepada kepentingan merancang bajet perbelanjaan secara berkesan, kaedah mengurus dan mengurangkan hutang, serta strategi mengawal perbelanjaan agar selaras dengan pendapatan. Fasilitator turut menekankan peranan disiplin diri dalam membentuk tabiat kewangan yang sihat, termasuk penyediaan dana kecemasan dan perancangan simpanan jangka panjang sebagai perlindungan masa depan.

Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan tentang risiko kewangan yang sering dihadapi graduan baru, seperti perbelanjaan berlebihan, penggunaan kad kredit yang tidak terkawal, dan kurangnya perancangan terhadap komitmen kewangan. Melalui perkongsian ini, adalah diharap peserta akan dapat membina asas kewangan yang kukuh sejak awal kerjaya.

Taklimat diakhiri dengan sesi bergambar ramai.