MAJLIS SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1447 PERINGKAT UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis, 4 Julai 2025 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447 pada hari Khamis, 07 Muharram 1447H bersamaan 03 Julai 2025M, jam 8.00 pagi, berlangsung di Surau Al-Syafi’i UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNISSA, Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.

Sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan mingguan Surah Yasin, Tahlil dan Doa yang dipimpin oleh Pegawai Ugama UNISSA, Pengiran Mohammad Daud bin Pengiran Matassan.

Majlis kemudian disemarakkan dengan penyampaian tazkirah khas bertema “Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan” oleh Profesor Dato’ Dr Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin.

Antara intipati yang dapat diambil daripada tazkirah berkenaan adalah umat Islam diseru untuk menghayati semangat hijrah yang bukan sekadar peristiwa lampau tetapi juga sumber inspirasi berterusan untuk mencapai kecemerlangan yang berpanjangan dalam setiap aspek kehidupan. Intipatinya adalah memupuk keazaman dan pengorbanan seperti yang ditunjukkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat bagi menghadapi cabaran dan melakukan transformasi diri, masyarakat serta negara ke arah kemajuan yang lestari dan berkekalan. Ini merangkumi peningkatan dalam aspek spiritual, intelektual, ekonomi dan sosial demi membina peradaban yang teguh dan seimbang yang mampu bertahan dalam arus perubahan zaman.

Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memperingati peristiwa agung penghijrahan Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dari Kota Mekah Al-Mukarramah ke Kota Madinah Al-Munawwarah di samping memberi motivasi kepada warga UNISSA agar mencontohi semangat pengorbanan dan perjuangan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA.