EKSPLORASI KERJAYA 4.0: JABATAN PERTANIAN DAN AGRIMAKANAN

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

EKSPLORASI KERJAYA 4.0: MENJANA ILMU & INSPIRASI BERSAMA JABATAN PERTANIAN DAN AGRIMAKANAN

Bandar Seri Begawan, 19 April 2025 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Alumni dan Persatuan Alumni UNISSA, telah menganjurkan Eksplorasi Kerjaya 4.0 ke Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Program ini berlangsung pada hari Sabtu, 21 Syawal 1446H bersamaan 19 April 2025M, dengan penyertaan seramai 40 orang yang terdiri daripada alumni serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Program ini bertujuan memperkasakan pengetahuan peserta mengenai prospek kerjaya dalam sektor pertanian, khususnya dalam industri padi tempatan, di samping membuka ruang kepada jaringan profesional dan pengalaman pembelajaran secara langsung di lapangan.

Eksplorasi Kerjaya ini terbahagi kepada dua sesi utama. Sesi pertama dimulakan dengan taklimat pengenalan oleh Yang Mulia Awangku Abdul Muizz Al-Azim Bin Pg Hj Abdul Halim, Juruekopertanian, Ketua Unit Pemindahan Teknologi, Ketua Bahagian Industri Padi, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Taklimat ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai fungsi dan hala tuju bahagian tersebut, termasuk dasar-dasar pembangunan industri padi negara, cabaran semasa serta peluang kerjaya yang tersedia. Sesi ini turut diserikan dengan sesi soal jawab yang interaktif, membolehkan peserta mengemukakan persoalan dan mendapat maklumat secara langsung daripada pihak berkepentingan.

Sebagai tanda penghargaan, sesi taklimat diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil kepada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, yang disampaikan oleh Rabi’atul Adawiah binti Azman, Timbalan Setiausaha, Persatuan Alumni UNISSA, kepada Yang Mulia Ak Abdul Muizz Al-Azim Bin Pg Hj Abdul Halim, Juruekopertanian, Ketua Unit Pemindahan Teknologi.

Sesi kedua pula merupakan lawatan ke tapak operasi semaian padi di JiaYuan Agricultural Trading Co, salah satu syarikat yang berada di bawah pemantauan Bahagian Industri Padi. Sepanjang lawatan selama satu jam ini, peserta diberi peluang untuk melihat secara dekat proses penghasilan anak benih padi, kaedah pengurusan ladang moden, serta strategi penanaman yang mapan dan berdaya saing. Pengalaman ini membolehkan para peserta merasai sendiri suasana kerja di sektor agrimakanan, sekali gus menanam minat terhadap kerjaya dalam bidang pertanian moden.

Eksplorasi Kerjaya 4.0 bukan sahaja membuka minda para peserta tentang potensi bidang pertanian sebagai kerjaya masa hadapan, malah turut memberi inspirasi untuk menyumbang kepada pembangunan sektor makanan negara. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan secara berkala dan diperluaskan ke sektor-sektor lain yang strategik demi meningkatkan kebolehpasaran graduan UNISSA.