MAJLIS ANUGERAH BUKU UNISSA 2024

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sebanyak tiga buah buku dan dua artikel jurnal berimpak tinggi telah dinobatkan untuk menerima Anugerah Buku UNISSA dalam Majlis Anugerah Buku UNISSA 2024, yang berlangsung di Ruang Legar, Perpustakaan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari Rabu, 22 Rejab 1446H bersamaan 22 Januari 2025M, jam 2.00 petang.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah, Yang Mulia Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Penolong Rektor (Akademik), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, selaku wakil Rektor, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

 

Majlis Anugerah Buku UNISSA 2024 dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Pengiran Muhammad Daud bin Pengiran Matassan, Pegawai Ugama UNISSA dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dr Hajah Sri Rahayu@ Nurjanah binti Haji Dollah, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA.

 

Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Buku oleh Tetamu Kehormat kepada para pemenang. Anugerah Buku UNISSA terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Buku Bahasa Arab, Kategori Buku Bahasa Inggeris dan Kategori Buku Bahasa Melayu.

 

Pemenang bagi kategori Buku Bahasa Arab ialah buku yang berjudul الإمام الشافعي بحوث غير فقهية

Iaitu hasil tulisan Professor Dr Moustafa Mohammed Rizk Elsawahly. Sementara buku yang berjudul “Orientalism, Modernization and Islamic Architecture” hasil tulisan Profesor Madya Dr Spahic Omer telah dipilih sebagai pemenang bagi kategori Buku Bahasa Inggeris. Bagi kategori Buku Bahasa Melayu pula, pemenangnya ialah buku yang berjudul “Pertautan Seni Lukis Brunei Darussalam dan Melayu Islam Beraja” merupakan karya Profesor Madya Dr Baharuddin Mohd Arus dan Dayang Nur Rita binti Abdullah Rani.

 

Bagi kategori Anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi. Kategori ini terbahagi kepada dua iaitu; Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan high-cited terbanyak dan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan jumlah bilangan penerbitan terbanyak.

 

Artikel yang bertajuk “Effects Of Water Additive Probiotic, Pediococcus Acidilactici on Growth Performance, Feed Utilization, Hematology, Gene Expression and Disease Resistance Against Aspergillus Flavus of Nile Tilapia (Oreochromis Niloticus)” hasil penulisan bersama Dr Mohammad Bodrul Munir, Dr Basma M. Hendam, Dr Moaheda E.H. Eissa, Dr Ehab El-Haroun, Dr Hien van Doan, Dr Thian Hai Chung dan Dr El-Sayed Hemdan Eissa telah dipilih sebagai pemenang bagi Artikel Jurnal Berimpak Tinggi dengan high-cited terbanyak iaitu sebanyak 26 citations. Anugerah Artikel Jurnal berimpak tinggi dengan jumlah bilangan penerbitan tertinggi pula telah dianugerahkan kepada Profesor Dr Ahmad Osmanu Haruna dengan jumlah terbitan sebanyak 09 terbitan pada tahun 2023.

 

Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Penolong-Penolong Rektor, Pegawai-Pegawai Utama dan penulis-penulis buku serta ahli jawatankuasa majlis.

 

Majlis Anugerah Buku UNISSA ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA dalam menitikberatkan bidang penyelidikan dan penerbitan. Anugerah Buku UNISSA 2024 merupakan terbitan-terbitan UNISSA Press pada tahun 2022 sehingga 2023. Antara tujuan majlis diadakan ialah untuk memberi pengiktirafan secara formal terhadap buku-buku yang telah memberi impak kepada pembinaan ilmu serta memberi galakan dan motivasi kepada para penulis buku untuk lebih bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan. Di samping itu, anugerah seperti ini diharap akan memberi suntikan semangat dan daya saing kepada para penulis buku untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti.