MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM TAHUN 1446H/2024M PERINGKAT UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1446H/2024M pada hari Khamis, 19 September 2024M, jam 2.00 petang, berlangsung di Dewan Jubli, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Rektor (Dasar dan Korporat) UNISSA, Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad. Juga turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Sambutan tersebut disemarakkan dengan Forum Khas yang disampaikan oleh dua orang ahli panel iaitu pelajar tahun 1 (PhD), Mohd Bazli Azhar bin Haji Mohd Yussof dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan pelajar tahun 2 (BA), Pengiran Abdul Basit bin Pengiran Haji Zaini dari Fakulti Bahasa Arab. Manakala forum dipengerusikan oleh pelajar tahun 4 (BA) dari Fakulti Usuluddin, Abdul Mujib bin Awang Sh’minan.

Tema forum “Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam” menekankan kepentingan menjaga dan memperkukuh akal kita dengan mengikuti petunjuk dan amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda mengajarkan bahawa akal yang sihat adalah asas kepada kehidupan yang seimbang dan produktif, dan ini boleh dicapai melalui pengamalan sunnah seperti menjaga kesihatan tubuh, menjauhi perkara yang merosakkan minda serta menuntut dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat. Baginda juga menunjukkan contoh terbaik dalam berfikir secara positif, bersikap bijaksana dan mengamalkan akhlak mulia yang kesemuanya menyumbang kepada pemeliharaan akal yang efektif. Dengan mempraktikkan ajaran-ajaran ini, kita dapat memastikan akal kita berfungsi dengan baik dan mampu menghadapi pelbagai cabaran hidup dengan lebih baik.

Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memperingati hari kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam di samping mengambil iktibar terhadap jasa-jasa Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam sebagai seorang pemimpin dan juga pendidik dalam menyebarkan agama Islam.