MAJLIS PENYAMPAIAN PINGAT DAN HADIAH BUKU SEMPENA HAFL AL-TAKHARRUJ KE-14 UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Sabtu, 14 September 2024 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku Sempena Hafl Al-Takharruj Ke-14 UNISSA di Royal Berkshire Hall, Tarindak d’Polo, Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, Peguam Negara dan Ahli Majlis Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, Surah at-Taubah ayat 111-116, dan seterusnya bacaan surah al-Fatihah yang dibaca oleh Awang Muhammad Hilmi bin Muhammad Iskandar, Graduan Sarjana Muda Tahfiz dan Qira’at, Fakulti Usuluddin.

Tetamu kehormat majlis berkesudian menyampaikan pingat dan hadiah buku kepada 64 orang penerima iaitu seorang penerima Pingat Pro-Canselor, seorang penerima Pingat Rektor, 10 orang penerima Pingat Universiti dan 52 orang penerima hadiah buku bagi pelbagai kriteria.

Menurut Pengerusi Bersama Majlis, Profesor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Penolong Rektor (Akademik), UNISSA telah memasuki 14 tahun mengadakan sambutan Hafl Takharruj dan seterusnya meraikan kecemerlangan graduan dan pelajar setiap tahun pengajian menerusi Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku.

Sepertimana lazimnya,  UNISSA menyediakan 4 jenis pingat  iaitu Pingat Canselor, Pingat  Pro Canselor, Pingat Rektor dan Pingat Universiti. UNISSA juga pada waktu yang sama, menyediakan hadiah buku bagi empat kategori yang berbeza: hadiah buku bagi tahun akhir, hadiah buku bagi selain dari tahun akhir, hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus al-Quran (aliran Arab dan juga aliran inggeris) dan hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Melayu Islam Beraja.

Setiap pingat dan hadiah buku ini mempunyai kriteria masing-masing. Secara umumnya, kriteria ini dinilai bukan sahaja dari sudut kecemerlangan dalam akademik, kecermerlangan dalam aktiviti serta khidmat masyarakat, bahkan yang paling penting adalah kecemerlangan sahsiah.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA, Ahli-ahli Majlis UNISSA, Penolong-Penolong Rektor, Jemputan-jemputan Khas, Para Penyumbang Pingat dan Hadiah Buku dan Pegawai-Pegawai Utama UNISSA.