UNISSA HADIRI PENANDATANGANAN JOINT DECLARATION KUUB-KPTN-KTI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Makassar, 2 Mac 2024, Sabtu- UNISSA menyertai penandatanganan “Joint Declaration antara Konsortium Perguruan Tinggi Negeri Kawasan Timur Indonesia (KPTN-KTI) dengan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB). UNISSA merupakan ahli dalam KUUB yang ditubuhkan pada 8 November 2023 di Universitas Lambung Mangkurat, Banjarmasin. Antara lain objektif penubuhan KUUB ialah untuk meningkatkan komitmen dan perkongsian strategik antara universiti awam di kepulauan Borneo bagi bersama menyokong kecemerlangan, keupayaan dan pengantarabangsaan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikandan inovasi serta mobiliti pelajar dan kebolehpasaran graduan. Selain itu, pakatan ini dilihat sebagai salah satu usaha rangkaian kerjasama yang dapat memantapkan taraf pendidikan di kepulauan Borneo sekaligus menjadikan Malaysia, Brunei dan Indonesia sebagai destinasi pengajian tinggi terulung di rantau Asia.

 

Acara penandatangan ini berlangsung di Universiti Hasanuddin (Unhas), Makassar dengan dihadiri oleh ahli-ahli dari kedua-dua buah pertubuhan ini. Menurut kenyatan penganjur sebanyak 57 pengajian tinggi yang bergabung dalam KPTN-KTI dan 16 pengajian tinggi Borneo bersetuju dalam penggabungan ini. Ini bermakna jalinan kesetiakawanan melangkau dan melebar sayapnya dari Kepulauan Bornei hingga ke kawasan Indonesia Timur. Justeru, dalam ucapan aluan Rektor Unhas, Prof. Dr. Ir. Jamaluddin Jompa selaku tuan rumah menyatakan bahawa pertemuan ini merupakan langkah awal dan strategik untuk seluruh institusi pengajian tinggi di kawasan Timur Indonesia. Ini kerana pengembangan dapat dioptimakan melalui jaringan yang lebih luas memandangkan masih ramai yang menghalakan pandangan ke pengajian tinggi di kawasan Indonesia barat berbanding timur. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kedua-dua buah konsortium ini memainkan peranannya saling membahu memajukan pusat-pusat pengajian tinggi di dua buah kepulauan yang berdekatan dari segi geografinya dengan pelbagai aktiviti khususnya penyelidikan. Penyelidikan yang sinonim dengan penulisan artikel dan petikan berimpak diyakini akan melonjakkan nama pusat-pusat pengajian tinggi dalam konsortium sekaligus menaikkan rating dalam penilaian ranking bertaraf global seperti QS ranking dan Times Higher education (THE).

 

Selain itu, sebelum pembentangan dalam forum berkenaan penyelidikan dan potensi peluang kerjasama antara KPTN-KTI dengan KUUB, Unhas turut mengadakan penandatangan Memorandum Persefahaman khusus dengan UNISSA. Program ini sekalipun singkat namun memberi kesempatan bertemu dan berbincang dengan rakan-rakan baru dari pelbagai latar pengajian tinggi, di samping memperkukuh jalinan dengan rakan-rakan dari Borneo. UNISSA diwakili oleh Dr Lilly Suzana binti Haji Shamsu, Penolong Rektor (HEPA) dan Puan Zalinawati binti Haji Mohaimin, Pemangku Pendaftar.