UNISSA SERTAI PERSIDANGAN KAIB XIII DI SARAWAK

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

8 September 2022– Bagi menyemarakkan diseminasi ilmu dan mengongsikan hasil kajian di Kepulauan Borneo, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB XIII) di Kuching, Sarawak, Malaysia.

KAIB merupakan platform wacana ilmiah dalam usaha mengembang dan membangunkan penyelidikan Islam di Kepulauan Borneo di mana ianya dilaksanakan secara tahunan yang diterajui oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dengan kerjasama UiTM Sabah; UNISSA, KUPU SB, Brunei Darusssalam; Universitas Mulawarman, Samarinda; Universitas Lambung Mangkurat, Banjarmasin dan Institut Agama Islam Negeri Pontianak, Indonesia.

Hadir bagi merasmikan persidangan ini ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU), Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, sebagai Wakil Ketua Menteri Sarawak Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Mengetuai rombongan UNISSA ialah Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor. Konferensi yang berlangsung selama dua (2) hari mulai 07 hingga 08 September 2022M dengan tema “Peranan dan Sumbangan Institusi Islam” telah memuatkan sebanyak 68 kertas kerja termasuk lima kertas utama.

Turut membentangkan kertas kerja selaku pembentang utama dalam persidangan tersebut ialah Pg Dr. Hajah Norkhairiah binti Pg Haji Hashim Pengarah, Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban Universiti Islam Sultan Sharif Ali Negara Brunei Darusslam dan Mr. Saifullah JO, Young-Chan, Pengerusi, Persatuan Halal Korea (KOHAS), Korea.

Di samping hadir membentang, para pembentang UNISSA seramai 14 orang juga mengambil peluang untuk melebarkan bidang kerjasama dengan beberapa institusi di Kuching dengan mengadakan lawatan kerja Muhibbah di Jabatan Agama Islam Sarawak, Borneo Cultural Museum, Makmal Halal, Ladang, Pusat Pengembangan dan Penyelidikan Islam Borneo, Kampus UiTM Samarahan Sarawak.