Kaherah, Republik Arab Mesir – Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato SeriSetia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, telah menyertai Persidangan Antarabangsa ke-36 Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam yang berlangsung di Kaherah pada 19 dan 20 Januari 2026, bagi memenuhi undangan rasmi daripada Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Dr Osama Al-Azhari.

Persidangan berprestij ini dianjurkan di bawah naungan Presiden Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah Al-Sisi, dan menghimpunkan para menteri, mufti, pemimpin agama, ulama serta cendekiawan dari lebih 50 buah negara bagi membincangkan pembaharuan wacana keagamaan, penolakan ideologi ekstremisme, serta peranan institusi Islam dalam pembangunan insan dan masyarakat sejagat.
Dalam rangka persidangan tersebut, satu pertemuan khas dan perbincangan bulat telah diadakan antara Presiden Republik Arab Mesir dan semua ketua delegasi negara peserta. Presiden Abdel Fattah Al-Sisi menegaskan kepentingan merangka strategi bersama untuk menentang ekstremisme, memperkukuh kestabilan sosial melalui institusi keagamaan, serta memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan dalam dakwah Islam kontemporari.
Beliau turut menekankan bahawa Islam merupakan agama yang hidup dan sentiasa relevan dengan realiti semasa, di samping menyeru para ulama dan cendekiawan memainkan peranan aktif dalam ruang digital dan media sosial.

Penyertaan UNISSA dalam dalam persidangan dan pertemuan peringkat tinggi ini adalah sejajar dengan rangka kerja persidangan yang menekankan pembangunan insan, etika profesional, pemerkasaan wacana Islam sederhana serta kerjasama antarabangsa dalam bidang ilmu dan dakwah.
Dalam hubungan ini juga, Rektor UNISSA turut mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dua hala bersama Fadhilat Imam Sheikh al-Azhar Prof. Dr. Ahmad Muhammad At-Thayyib, Sahibus Samahah Mufti Agung Mesir Prof Dr Nadzir Ayyad, Presiden Universiti al-Azhar dan Presiden Cairo University bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara UNISSA dan Universiti al-Azhar dan Cairo University dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan tenaga akademik, serta pengembangan ilmu Islam dan sains kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Usaha ini mencerminkan komitmen UNISSA untuk terus memperluas jaringan globalnya, di samping menyokong pembangunan wacana Islam yang progresif, berteraskan nilai, dan responsif terhadap cabaran global semasa.