UNISSA SAMBUT HARI BUKU SEDUNIA 2026

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Dalam menyahut sokongan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang telah mengistiharkan tarikh 23 April sebagai Hari Buku Sedunia, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan Sambutan Hari Buku Sedunia 2026 selama lima (5) hari bermula 11 Julai hingga 18 Julai 2026 (kecuali Jumaat dan Ahad).

Majlis pelancaran Sambutan Hari Buku Sedunia 2026 telah diadakan pada 25 Muharram 1448H bersamaan dengan 11 Julai 2026 bertempat di Maktabah al-Hikmah, Kampus Gadong. Majlis pelancaran Hari Buku Sedunia 2026 telah disempurnakan oleh Yang Mulia Pemangku Rektor UNISSA, Dr Haji Arman bin Haji Asmad.

Sambutan Hari Buku 2026, Peringkat UNISSA ini merupakan salah satu acara tahunan dan merupakan anjuran bersama Perpustakaan, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa. Pelbagai pengisian telah dirancang untuk menyemarakkan lagi sambutan hari buku pada tahun ini.

Majlis dimuatkan dengan sesi bincang-bincang buku bagi buku ‘Kaedah Kelestarian Alam Menurut Islam Ke Arah Pemerkasaan Pembangunan Mampan’ yang disampaikan oleh penulis Dr Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin, Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i dan Penolong Profesor Kanan Fakulti Syariah, UNISSA.

Pada tahun ini juga satu (1) orang best academician patron dan satu (1) orang best student patron akan menerima penghargaan bagi peminjaman buku yang paling banyak daripada Maktabah al-Hikmah Kampus Gadong dan juga penghargaan kepada pewakaf-pewakaf buku perpustakaan.

Majlis juga diteruskan dengan pelancaran Khadra Recycle Corner & Khadra Reading Corner. Perkataan Khadra diambil daripada Bahasa Arab خضراء, yang bermaksud hijau, kehijauan atau yang menghijau. Nama Khadra dipilih kerana ia melambangkan nilai-nilai kelestarian, keseimbangan dan pembaharuan yang sejajar dengan usaha memupuk Minda Lestari dalam kalangan warga UNISSA.

Inisiatif ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam aspek Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11), Konsumsi dan Produksi yang Bertanggungjawab (SDG 12) dan Penanganan Perubahan Iklim (SDG 13) yang bertujuan untuk memupuk budaya kelestarian alam sekaligus budaya membaca di dalam diri setiap warga UNISSA.

Di antara aktiviti lain yang akan diadakan sempena Hari Buku Sedunia 2026 ialah:

  • Wakaf Yasin, membaca tahlil dan kempen membersihkan tanah perkuburan Islam Liau Besar Kg. Katimahar
  • Literasi Maklumat Media Sosial Warga Emas (Instagram)
  • Maktabah Earth Hour
  • Ummah Reads
  • Penyerahan Buku Wakaf ke Pusat Tingkatan Enam Sengkurong