PROGRAM ‘VISIONARY VOYAGE: FROM PASSION TO PROFESSION’

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Khamis & Sabtu, 23 dan 25 April 2026 – Alhamdulillah, Badan Pelajar Undang-undang di bawah Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah (FUSHHB), dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), telah berjaya menganjurkan Program ‘Visionary Voyage: From Passion to Profession’ yang berlangsung selama dua (2) hari, iaitu pada hari Khamis, 23 April 2026 dan Sabtu, 25 April 2026.

Program ini merangkumi empat (4) pengisian utama iaitu Bengkel CV Writing, Cover Letter & Interview, Bengkel Pengucapan Awam, sesi Mentor Clinic, serta forum kerjaya, yang kesemuanya bertujuan untuk memperkasa kemahiran profesional, komunikasi serta kesiapsiagaan pelajar dan alumni dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Pada hari pertama, sesi pagi dimulakan dengan Bengkel CV Writing, Cover Letter & Interview yang telah menerima penyertaan seramai 79 orang peserta. Bengkel ini menampilkan Tuan Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 2, Pusat Pekerjaan Brunei, yang memberikan pendedahan mengenai teknik dan amalan terbaik dalam menghadapi temuduga, termasuk sesi simulasi dan maklum balas secara langsung. Seterusnya, sesi penulisan Curriculum Vitae (CV) dan Cover Letter telah disampaikan oleh Puan Qairawani binti Haji Yacob, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 1, Pusat Pekerjaan Brunei, yang menekankan elemen asas serta strategi menghasilkan dokumen permohonan kerja yang berkesan.

BENGKEL ‘CV WRITING, COVER LETTER & INTERVIEW’ 

Pada sesi petang pula, program diteruskan dengan Bengkel Pengucapan Awam yang disertai oleh 40 orang peserta. Bengkel ini dikendalikan oleh fasilitator jemputan, Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib, Jurulatih FIKRA 1 Komunikasi & Pengucapan Awam, UNISSA. Para peserta didedahkan kepada teknik penyampaian yang berkesan, kawalan bahasa badan serta kaedah meningkatkan keyakinan diri ketika berucap, di samping terlibat secara aktif dalam latihan praktikal dan sesi interaktif.

BENGKEL PENGUCAPAN AWAM

Pada hari kedua, sesi pagi menumpukan kepada program Mentor Clinic bertemakan Career Pathways Sharing Panel yang menerima penyertaan seramai 34 orang peserta. Sesi ini dikendalikan oleh moderator, Nurul Asyiqin binti Haji Sofian, Ketua Unit Perhubungan Awam Badan Pelajar Undang-undang, bersama panel jemputan iaitu Tuan Arif Azhan bin Awang Besar, Ketua Bahagian Perundangan dan Pematuhan Jabatan Tanah; Tuan Haji Suhaili bin Haji Momin, Peguam Syarie daripada Peguam Syarie Al-Wady; serta Tuan Mohammad Syafiq Nazrin bin Hj A. Hanni @ Zalanni, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pacer Enterprise. Sesi ini turut merangkumi perbincangan meja bulat yang memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan para panel dan mendapatkan panduan kerjaya secara langsung.

MENTOR CLINIC 

Manakala, sesi petang pula merupakan kemuncak acara iaitu forum kerjaya bertajuk ‘Understanding Workforce Realities: Career Strategies for UNISSA Students’, yang turut disertai oleh 60 orang peserta. Forum ini dikendalikan oleh moderator, Muhammad Wafiq bin Kifli, Ahli Unit Perhubungan Awam Badan Pelajar Undang-undang, bersama panel jemputan iaitu Tuan Mohamad Adeeb bin Nazmi, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 2, Unit Tenaga Manusia, Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri, serta Puan Qairawani binti Haji Yacob, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 1, Pusat Pekerjaan Brunei. Forum ini memberi pendedahan mengenai realiti pasaran pekerjaan di Negara Brunei Darussalam, kemahiran yang diperlukan oleh majikan, serta strategi perancangan kerjaya yang berkesan.

FORUM KERJAYA: ‘UNDERSTANDING WORKFORCE REALITIES: CAREER STRATEGIES FOR UNISSA STUDENTS’

Secara keseluruhannya, Program ‘Visionary Voyage: From Passion to Profession’  telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam menyediakan platform pembangunan kemahiran yang holistik, interaktif dan berimpak tinggi kepada para peserta. Program ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran diri, malah turut membina keyakinan serta memperluaskan perspektif peserta terhadap dunia kerjaya melalui perkongsian langsung daripada para profesional industri.

Diharapkan agar program ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan graduan yang berdaya saing, berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan pada masa hadapan, di samping mengukuhkan hubungan antara pelajar, alumni dan pihak industri.