Pembentangan Ucaptama Persidangan IC-COPE 2026

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Pembentangan Ucaptama Pertama Persidangan disampaikan oleh Yang Mulia Dr Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman, Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA. Ucaptama menekankan bahawa semangat kesukarelawanan dan khidmat masyarakat merupakan asas penting dalam membina komuniti yang kukuh, harmoni dan lestari selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja serta nilai ihsan, ta‘awun dan ukhuwah dalam Islam. Dalam menghadapi kemerosotan penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia, khidmat masyarakat perlu beralih daripada sekadar pemberian bantuan kepada usaha memperkasa individu agar lebih berdikari, berdaya tahan dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat. Setiap individu diseru memanfaatkan ilmu, kepakaran, masa, tenaga dan sumber yang dimiliki untuk menjadi pemangkin perubahan serta bersama-sama membangunkan ummah dan negara yang sejahtera, berilmu dan diberkati.

Manakala Pembentangan Ucaptama Kedua Persidangan disampaikan oleh Profesor Dr. Mahazan Abdul Mutalib, Profesor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau juga merupakan seorang Mentor di Knowledge for Change (K4C) Consortium; sebuah inisiatif yang berafiliasi dengan UNESCO.

Pembentangan ucaptama ini menekankan peranan strategik universiti dalam menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan sebenar masyarakat melalui pendekatan Knowledge for Change (K4C), Open Science dan Community-Based Participatory Research (CBPR). Institusi pengajian tinggi diseru untuk mengintegrasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dalam pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat, memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat serta menghasilkan penyelidikan yang relevan dan berimpak. Pendekatan ini turut menggalakkan perubahan daripada khidmat berbentuk bantuan semata-mata kepada usaha memperkasa komuniti secara bersama, sekali gus melahirkan penyelidik dan pemimpin yang mampu menghubungkan ilmu akademik dengan realiti sosial demi pembangunan ummah yang berilmu, berdaya tahan dan lestari.