Majlis Perasmian Simposium Seni Bina Islam 2026 di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (10-14 Jun 2026)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

10 Jun 2026 – Majlis Perasmian Simposium Seni Bina Islam 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB). Simposium yang diadakan bermula dari 10 hingga 14 Jun 2026 (kecuali hari jumaat), menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal industri, pelajar serta orang ramai bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan seni bina Islam dalam konteks pembangunan kontemporari.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi; Dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, selaku Tetamu Kehormat Majlis.

Simposium ini menyediakan platform bagi perkongsian ilmu dan pengalaman melalui siri pembentangan akademik, forum, pameran dan sesi dialog yang mengetengahkan pelbagai aspek seni bina Islam, termasuk pemeliharaan warisan, kelestarian, reka bentuk, identiti budaya dan pembangunan masa hadapan. Penganjuran simposium ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan seni bina Islam dalam membentuk persekitaran yang lestari serta berteraskan nilai-nilai Islam.

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) turut memainkan peranan aktif dalam simposium ini melalui penyertaan ahli akademiknya. Antaranya ialah Prof. Madya Dr. Anis Malik Thoha, dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), yang telah dijemput sebagai salah seorang pembentang simposium. Beliau menyampaikan pembentangan bertajuk “Melangkaui Kelestarian: Rekonstruksi Paradigma Epistemologi Berteraskan Barakah dalam Seni Bina di Negara Brunei Darussalam”, yang mengetengahkan perspektif Islam dalam memahami konsep kelestarian melalui pendekatan berteraskan barakah.

Selain penyertaan dalam sesi pembentangan, FPPI turut mengambil bahagian dalam pameran yang mengetengahkan penyelidikan pensyarah-pensyarah UNISSA bertajuk “A Proposed Architectural Design of Brunei Islamic World Edutourism Park (Brunei I-World)”. Projek penyelidikan ini mempamerkan cadangan pembangunan sebuah taman edupelancongan Islam yang mengintegrasikan elemen seni bina Islam, pendidikan, warisan dan pelancongan sebagai medium untuk memperkenalkan sejarah, peradaban dan identiti Islam di Negara Brunei Darussalam. Pameran tersebut turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat usaha penyelidikan dan inovasi yang dijalankan oleh UNISSA dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu, pemeliharaan warisan dan pengukuhan identiti Islam.

Penyertaan FPPI dalam simposium ini mencerminkan komitmen fakulti dalam menyumbang kepada perkembangan ilmu, penyelidikan dan wacana akademik yang menghubungkan nilai-nilai Islam dengan cabaran pembangunan semasa. Diharapkan penganjuran simposium ini akan terus memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pihak industri dalam usaha memartabatkan seni bina Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.