MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN MEDIA ISLAM SERANTAU (RIMeC’26 02-04 Jun 2026)

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Rabu, 3 Jun 2026 – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Teknologi Islam dan Fakulti Usuluddin bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST) dan Pusat Da’wah Islamiah telah menganjurkan Persidangan Media Islam Serantau 2026 (RIMeC’26) selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 Jun 2026, bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

 

Dengan tema “Da’wah dan Media Islam dalam Era Digital: Cabaran, Peluang dan Transformasi” dan bertujuan menghimpunkan ahli akademik, pengamal media dan penyelidik dari dalam dan luar negara bagi membincangkan perkembangan media Islam dalam menghadapi era pendigitalan semasa. Persidangan ini turut membincangkan transformasi model da’wah daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan digital yang lebih dinamik, interaktif dan berorientasikan data tanpa mengabaikan prinsip serta nilai syariah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Matdain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA; Yang Mulia Pengiran Haji Raffizana bin Pengiran Haji Razali, Pemangku Setiausaha Tetap Urustadbir Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri termasuk Penolong-Penolong Mufti Kerajaan.

Juga turut hadir Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam dan Yang Berbahagia Profesor Madya Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Didalam ucapan alu-aluan Yang Mulia Profesor Dr Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar, Dekan Fakulti Teknologi Islam, UNISSA dimana beliau menekankan bahawa perkembangan teknologi seperti AI, media sosial dan platform digital telah mengubah landskap komunikasi serta menimbulkan cabaran seperti penyebaran maklumat palsu, manipulasi persepsi dan budaya tular. Namun, media digital juga dilihat sebagai peluang besar untuk memperluas da’wah, menyampaikan ilmu dan membina naratif Islam yang sahih, progresif dan berautoriti.

Majlis turut diserikan dengan ucaptama oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM. Antara intipati yang disampaikan ialah mengenai keperluan transformasi media Islam agar lebih strategik, kreatif dan proaktif dalam menghadapi cabaran dunia digital yang dipenuhi berita palsu, fitnah dan persaingan naratif. Melalui pengajaran sejarah Islam, umat Islam diseru untuk menguasai ilmu, teknologi dan komunikasi moden serta membangunkan Halal Media Hub sebagai ekosistem media serantau yang berteraskan kebenaran, adab, nilai Islam dan tanggungjawab sosial.

RIMeC’26 juga menghimpunkan beberapa pameran daripada institusi akademik, agensi kerajaan, media Islam, syarikat industri dan platform digital yang berkaitan dengan da’wah, teknologi serta inovasi pendidikan Islam. Senarai pempamer yang ikut serta termasuk IKIM Malaysia, Fakulti Usuluddin UNISSA, Fakulti Teknologi Islam UNISSA, Pusat Perkhidmatan Digital UNISSA, Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Radio NurIslam FM, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) termasuk Think Osem Sdn Bhd (Malaysia) dan Brunei Ubni Sdn Bhd (Brunei Darussalam).

Penganjuran RIMeC’26 diharap dapat menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta memperkasa peranan media Islam dalam menyampaikan maklumat yang sahih, beretika dan berteraskan nilai-nilai Islam sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. Persidangan ini juga mencerminkan komitmen UNISSA dalam membudayakan penyelidikan, memperluas jaringan akademik dan menyokong pembangunan ekosistem media Islam yang lebih profesional, inovatif dan berwibawa.