MAJLIS PELANCARAN SUDUT BUKU INDIA DI PERPUSTAKAAN UNISSA

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

GADONG, 26 Mei 2026 – Sebanyak 46 buah buku ilmiah dan budaya telah disumbangkan oleh Kedutaan India kepada Perpustakaan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), sempena pelancaran Sudut Buku India yang berlangsung di perpustakaan universiti tersebut, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani, Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam. Ketibaan beliau telah disambut mesra oleh Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Sudut Buku India merupakan inisiatif kerjasama antara Kedutaan India dan UNISSA, bertujuan untuk memperkukuh hubungan kebudayaan dan pendidikan antara kedua-dua negara, di samping menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti yang merangkumi pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, sejarah, sastera dan seni kebudayaan India.

Sejak beberapa tahun lalu, UNISSA telah menerima sumbangan kaligrafi Islam dan buku-buku daripada Suruhanjaya Republik India, antaranya 38 buah hasil karya kaligrafi Islam pada tahun 2018, dan 38 buah buku pada tahun 2019, menjadikan pelancaran kali ini sebagai kesinambungan usaha berterusan dalam mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.

Majlis turut dihadiri oleh Penolong-Penolong Rektor, pegawai-pegawai utama universiti, para pensyarah, serta wakil daripada Kedutaan India. Majlis diserikan lagi penyampaian cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan.

Dengan adanya sudut buku ini, UNISSA percaya ia akan menjadi satu lagi sumber rujukan bermanfaat dalam memperkukuh budaya ilmu serta mendorong kepada lebih banyak inisiatif kerjasama antarabangsa pada masa akan datang. Penambahan koleksi ini turut menjadikan perpustakaan UNISSA semakin kaya dengan sumber rujukan antarabangsa hasil sumbangan pelbagai pihak.