MAJLIS IBADAH KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1446H/2025M UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

Share News

Facebook
Twitter
LinkedIn

Recent News

Ibadah Korban merupakan amalan sunat yang sangat dituntut dalam Islam iaitu dengan menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha; 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik iaitu; 11, 12 dan 13 Zulhijjah sebagai tanda syukur seorang hamba atas nikmat yang diberikan di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Sebagai memuliakan dan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Keugamaan dan Takmir Surau, Pejabat Hal Ehwal Pelajar mengadakan majlis berkenaan pada hari Selasa, 13 Zulhijjah 1446H bersamaan 10 Jun 2025M, jam 2.00 petang, bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA. Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan Doa dan kemudian diserikan dengan tazkirah khas disampaikan oleh Yang Mulia Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha, Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam.

Sebanyak 3 ekor kerbau dikorbankan pada tahun ini dan seterusnya diagihkan kepada 18 keluarga dari kalangan fakir miskin bagi kawasan Mukim Gadong B, Daerah Brunei dan Muara dan juga kepada warga UNISSA pada majlis berkenaan. Majlis turut dihadiri oleh pemangku timbalan rektor, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai-pegawai dan kakitangan serta mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan UNISSA ini diadakan bagi sama-sama merebut peluang untuk melaksanakan ibadah korban dan sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan warga UNISSA.